Samun warga emas: Dua individu diberkas, seorang lagi masih diburu
KLANG - Dua lelaki diberkas dipercayai meragut rantai leher milik seorang wanita warga emas dalam kejadian dekat kawasan perumahan Taman Mewah 1 di sini, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa yang berumur 67 tahun itu disamun ketika sedang bersenam di lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebuah kereta berhenti di belakang mangsa sebelum seorang individu mendatangi mangsa serta menarik rantai leher dipakainya.
"Suspek kemudian bertindak melarikan diri menggunakan kenderaan sama bersama seorang lagi suspek yang memandu kenderaan terbabit.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan siku kiri akibat terjatuh selain rantai leher miliknya bernilai RM3,000 telah hilang selepas disamun suspek," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian.
"Dua suspek berumur 18 dan 23 tahun itu diberkas Cawangan Jenayah Berat D9, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 16 Ogos lalu.
"Semakan dijalankan mendapati kedua-dua suspek memiliki dua rekod jenayah lampau," katanya.
Menurutnya, polis masih mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kes ini.
"Suspek berumur 32 tahun dikenali sebagai Palla dipercayai masih bebas dikesan bagi siasatan lanjut berkaitan kes ini.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!