Perak pastikan kenaikan gaji dinikmati penjawat awam negeri

Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sebuah restoran di sini pada Selasa.
Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sebuah restoran di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan memastikan kadar baharu gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dinikmati kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menjadi kebiasaan apa yang diumumkan di peringkat kerajaan persekutuan berkaitan gaji penjawat awam akan diikuti oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kenaikan gaji penjawat awam itu sudah pasti akan memberikan implikasi kewangan tetapi kerajaan negeri akan mencari sumber kewangan untuk memastikan ia tetap dilaksanakan.

"Biasanya kita ikutlah supaya tidak ada perbandingan di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri. Kita ubah suai sedikit sebanyaklah, tetapi kena ada kenaikanlah (gaji penjawat awam) sebab persekutuan buat.

"Sudah tentu akan ada implikasi kewangan. Mahu tidak mahu kita kena carilah (peruntukan kewangan). Selama ini pun macam itu jugalah. Jadi insya-ALLAH ada, rezeki orang masing-masing," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sebuah restoran di sini pada Selasa.

Pada 16 Ogos, Anwar mengumumkan pelarasan gaji bagi penjawat awam secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Dalam perkembangan lain, Saarani mengalu-alukan usaha dilakukan bagi menarik pelancong menerusi Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pakej tersebut bukan sahaja tertumpu kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam di seluruh dunia untuk melihat keunikan dan keindahan masjid-masjid yang ada di Perak.

"Jadi kita di Perak ini ada pelbagai produk pelancongan yang begitu seperti Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Masjid Seribu Selawat di Pulau Pangkor, Masjid Cina (Muhammadiah) di Tasek, Ipoh dan banyak lagi masjid yang dijadikan destinasi pelancongan sebab setiap masjid ada keunikan tersendiri sama ada pengisian masjid atau rekabentuk masjid atau sejarah.

"Kalau kita betul-betul mempromosikan daripada jutaan bilangan pelancongan islamik ini, kalau separuh boleh singgah di Perak ia beri pulangan lumayan kepada pengusaha-pengusaha hotel dan penggiat-penggiat pelancongan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!