Sindiket seludup warga asing di KLIA2 tumpas

Operasi dijalankan SPRM ini berjaya melumpuhkan sindiket membawa masuk warga asing seperti daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.
Operasi dijalankan SPRM ini berjaya melumpuhkan sindiket membawa masuk warga asing seperti daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara terbongkar menerusi penahanan 12 individu sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada Selasa.

Operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjaya melumpuhkan sindiket membawa masuk warga asing seperti daripada Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.

Lebih mengejutkan kegiatan ini turut didalangi beberapa penguatkuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara.

Mereka menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi 'counter setting'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kegiatan sindiket berkenaan dibongkar susulan penahanan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi Op Pump dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, antara suspek ditahan membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga individu yang dipercayai mempunyai peranan masing-masing bagi menguruskan kemasukan warga asing berkenaan serta lima penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

"Tangkapan yang dilakukan ini adalah susulan risikan dijalankan SPRM sejak tahun 2022 terhadap kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

"Sindiket ini dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat," katanya eksklusif kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat 'counter setting' iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

"Kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan yang bertindak akan menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.

"Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu," katanya.

Ujar beliau, masa sama, ejen terlibat akan memaklumkan kepada warga asing terbabit untuk pergi ke kaunter tertentu sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

"Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," katanya.

Kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara terbongkar menerusi penahanan 12 individu sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada Selasa.
Kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara terbongkar menerusi penahanan 12 individu sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada Selasa.

Azam berkata, kumpulan warga asing ini sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021.

"Menerusi pekeliling ini, mereka perlu mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, mempunyai visa dan mempunyai tiket perjalanan pergi balik yang sah.

"Selain itu, kumpulan warga asing juga perlu mempunyai wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara dan perlu menunjukkan alamat penginapan atau booking hotel," katanya.

Tambah beliau, bagaimanapun menerusi kaunter khas ini, mereka telah diberi pelepasan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

"Kesemua suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses permohonan reman pada Rabu," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan orang ramai mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap warga asing tanpa izin kerana bimbang dengan peningkatan kes jenayah sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, mereka turut mendakwa tidak selesa dengan situasi ini antara lumrah yang perlu dihadapi setiap hari masyarakat berkaitan lambakan warga asing yang 'menguasai' beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Presiden Persatuan Gemilang Muafakat Perpaduan, S Hassan Khutoos berkata, isu lambakan warga asing ini berlaku kemungkinan berlakunya unsur rasuah antara sebab lambakan warga asing ini masih berlaku.

Menurut beliau, punca masalah berlaku disebabkan terdapat salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan segelintir penguatkuasa itu sendiri.

Susulan itu, jelasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan terus terhadap mana-mana pihak yang didapati bersekongkol dan terlibat dengan rasuah berkaitan isu warga asing ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!