Nur Afrina kukuh status ratu pecut
ATLET Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal mengukuhkan statusnya sebagai ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila memecahkan rekod temasya buat kali kedua dalam acara 200 meter (m) wanita di Stadium Sarawak, Kuching pada Selasa.
Masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas 100m sambil mencipta rekod baharu temasya semalam, Nur Afrina, 20, terus menampilkan kemampuannya selepas mencipta catatan masa 23.89 saat (s) sekali gus memadam rekod 24.37s yang dilakar pelari dari Perak Noor Eewan Syafiah Mohd Sabri pada edisi 2016 di sini.
Pingat perak menjadi milik Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dari Terengganu dengan 24.52s manakala atlet tuan rumah Ormilla Octavia Codday Nyadau ketiga selepas merakam 24.94s.
"Saya mendapat pingat emas untuk Selangor seperti diinginkan dan sekali lagi memecahkan rekod kejohanan. Saya gembira, masa yang saya dapat pun (catat) di luar jangkaan.
"Apa yang saya buat ialah kekal fokus sebelum perlumbaan. Saya tenang dan tidak fikirkan siapa pesaing saya, sebab saya lawan diri saya sendiri. Kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan jurulatih dan keluarga," katanya
Sementara itu, hasrat pemenang emas 100m lelaki Danish Iftikhar Muhammad Roslee dari Johor untuk membawa pulang emas berganda tidak kesampaian selepas terpaksa akur menamatkan saingan 200m di tempat kedua dalam perlumbaan sengit.
Pada final itu, Muhammad Sayyid Amin Roslan dari Pulau Pinang disahkan pemenang emas dengan catatan 21.221s untuk mengatasi Danish Iftikhar yang merakam 21.225s manakala gangsa milik Pengiran Aidil Auf Hajam@PG Roslie dari Sabah dengan catatan 21.60s.
"Untuk pencapaian hari ini saya berpuas hati walaupun bukan apa yang saya sasarkan, masih baik terutama dengan keadaan hujan.
"Tidak semua yang kita rancang akan berjalan lancar, tetapi Alhamdulillah, Allah dah susun sesuatu yang terbaik untuk saya, teruskan sahaja dan nikmati apa yang dikurniakan," kata atlet berusia 17 tahun itu.
Dalam pada itu, atlet Terengganu Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif dan Lie Yee Teng dari Selangor berada dalam kelas tersendiri selepas masing-masing menjuarai acara 110m lari berpagar lelaki dan 100m lari berpagar wanita.
Mohamad Armin mencatatkan 14.26s untuk membawa pulang emas, diikuti tempat kedua Muhammad Fiross Mohd Faizal dari Wilayah Persekutuan (14.51s) dan wakil Johor Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau ketiga selepas merakam 14.57s.
"Ini ibarat permulaan kepada usaha saya untuk bantu emak. Ayah dan emak dah bercerai, saya tinggal dengan emak," kata Mohamad Armin yang merupakan anak tunggal.
Dalam saingan wanita pula, Yee Teng melakar 14.28s untuk jauh meninggalkan pencabarnya Nur Shaqirah Cik Mat Kilau dari Johor di tempat kedua (14.87s) manakala atlet Perak Farah Syakira Azifsafrin ketiga dengan masa 14.97s.
-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!