Penglibatan semua dewan perniagaan dalam PuTERA35 perkukuh kerjasama - DPIM

Kenyataan media DPIM pada Selasa.
Kenyataan media DPIM pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan semua dewan perniagaan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat memperkukuh kerjasama dan memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta menyeluruh.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, dengan sokongan semua pihak, negara diyakini dapat mencapai matlamat PuTERA35 dan memperkasakan ekonomi usahawan Bumiputera untuk masa depan yang lebih cemerlang.

"DPIM menyeru penglibatan aktif semua dewan perniagaan dalam pelaksanaan PuTERA35 kerana ahli-ahli dewan perniagaan mempunyai kepakaran dan pengalaman mendalam dalam industri yang relevan.

"Kepakaran ini penting untuk program pembangunan usahawan yang lebih efektif dan strategik sejajar dengan matlamat dan visi PuTERA35," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PuTERA35 dan memaklumkan ia akan menjadi dokumen baharu mendorong bumiputera dalam usaha meningkatkan peranan yang lebih signifikan ke arah pembangunan sosioekonomi negara.

Menurut Mohammad Sahar, DPIM menyambut baik visi PuTERA35 yang memfokus untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera melalui penyertaan, pemilikan serta penguasaan ekonomi yang lebih bermakna.

Ulasnya, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan inisiatif tersebut yang menunjukkan komitmen jangka panjang untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.

"PuTERA35 merangkumi 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar, yang memberikan panduan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera sehingga tahun 2035, termasuk peluang dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi dan inovasi.

Artikel Berkaitan:

"Pelan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada Bumiputera tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani dan Agenda Pembangunan Lestari 2030," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!