Ringgit kukuh dan penurunan harga barangan import
RINGGIT mencecah paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan ketika ini apabila melonjak kepada 4.3805/3580 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada jam 6 petang Isnin.
Kadar itu merupakan prestasi terbaik mata wang tempatan dalam tempoh sejak 14 Februari 2023.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus menunjukkan daya tahan dan berprestasi baik berbanding dolar AS, meletakkan ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.
Jelasnya, lonjakan itu didorong oleh kebimbangan yang semakin reda terhadap kemelesetan di AS, dengan indikator ekonomi menunjukkan kemungkinan negara berkenaan mengalami pertumbuhan ekonomi sederhana.
Secara teorinya, pengukuhan nilai ringgit ini dilihat mampu membawa kepada penurunan harga, terutamanya melibatkan barangan yang diimport.
Bagaimanapun, kesan penurunan harga ini bukanlah dapat dilihat esok atau lusa, sebaliknya ia akan mengambil masa mungkin dalam masa sebulan dua sebelum rakyat negara ini boleh melihat impak pengukuhan ringgit ke atas harga barang.
Untuk jangka masa sederhana dan panjang, pengukuhan ringgit juga bakal membantu mengekang kenaikan harga makanan terutamanya yang diimport seperti bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan apatah lagi negara menyaksikan nilai jumlah import makanan pada tahun 2023 berjumlah RM78.7 bilion.
Biarpun begitu, terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat jelata bahawa penurunan ringgit ini mungkin tidak membawa kesan besar terhadap penurunan harga barangan import.
Ini berdasarkan dakwaan bahawa harga barangan di negara ini sukar untuk turun setelah naik meskipun faktor yang menyebabkan harga barangan itu naik sebelum ini telah bertambah baik.
Sehubungan itu, pihak berkuasa terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan harga barangan import terutamanya makanan di negara ini dalam tempoh sebulan dua lagi turun selaras dengan pengukuhan ringgit.
Jika ringgit kini terbaik dalam tempoh 18 bulan, harga makanan import ini perlulah turun menghampiri harga pada 18 bulan lepas, jika tidak boleh menyamai harga ketika itu sekali pun.
Tak guna ringgit mengukuh jika harga barangan import masih tidak mampu diturunkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!