Garap Pestabola Merdeka lebih menarik

Laporan Sukan Sinar
Laporan Sukan Sinar
A
A
A

PENGANJUR Pestabola Merdeka tidak boleh terlalu berharap untuk menarik penyertaan pasukan gergasi dunia termasuk Korea Selatan serta Jepun kerana zaman sudah berubah dan kualiti bola sepak mereka lebih jauh meningkat.

Sebaliknya penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, kejohanan tersebut perlu direka bentuk dengan corak yang lebih menarik dengan keutamaan untuk melonjakkan kedudukan ranking Malaysia dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Usah berharap sangat walaupun berangan itu percuma. Masa sudah berubah dan zaman telah berlalu. Biar kita jumpa mereka (Korea Selatan dan Jepun) pada kejohanan sebenar seperti Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia atau Kelayakan Olimpik (Bawah 23 tahun).

“Itu lebih menarik daripada lihat pemain simpanan mereka diturunkan pada separuh masa kedua di Pestabola Merdeka atau perlawanan persahabatan.

“Pestabola Merdeka tahun depan, rancang awal-awal pasukan yang benar-benar mampu bantu pasukan kebangsaan (lonjak ranking) dan hiburkan peminat,” catat beliau menerusi Facebook.

Pestabola Merdeka mampu memberi pendedahan kepada skuad kebangsaan.
Pestabola Merdeka mampu memberi pendedahan kepada skuad kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024, Mohd Firdaus Mohamed meluahkan harapan agar pasukan gergasi dunia kembali menyertai kejohanan tersebut seperti sebelum ini.

Ini kerana beliau percaya penyertaan pasukan ranking lebih baik akan memberikan pendedahan lebih kepada skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat sejarah lalu Pestabola Merdeka ini seingat saya pada lewat 80-an, banyak pasukan dari Afrika yang bermain seperti Senegal, Ghana, Korea Selatan dan Jepun yang sekarang ini sudah mendahului kita," katanya.

Zakaria menjelaskan bukan Jepun dan Korea Selatan tidak mahu hadir, tetapi ia ibarat Timor Leste atau Maldives menganjurkan kejohanan dan jemput Malaysia beserta pasukan seperti North Caladonia, Guam dan Canary Island bermain.

"Yakinlah, tak akan mahunya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) terima jemputan itu walaupun segala kos kehadiran ditanggung penuh.

"Kita kena ikut edaran masa dan zaman dan usah terlalu bernostalgia dengan memori lama. Jika matlamat nak rancakkan kehadiran penonton ke stadium sepanjang Pestabola Merdeka, cari pasukan yang mampu tarik ramai penonton.

"Contohnya tarik negara serantau dan setaraf seperti Indonesia, Thailand, Vietnam atau China. Ini adalah negara-negara yang mampu beri saingan baik kepada pemain dan bagus untuk perkembangan mereka, malah pasti tarik penonton.

"Kalau mahu lebih bagus, jemput pasukan seperti Kazakhstan, Qatar, Australia atau Palestin. Ini pun mampu capai pelbagai matlamat. Cuma risikonya ialah mata ranking akan merudum kalau kalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!