Netizen 'mulut longkang' kutuk mangsa kemalangan

Motosikal rosak dan remuk akibat kemalangan. Gambar hiasan
Motosikal rosak dan remuk akibat kemalangan. Gambar hiasan
A
A
A

BANYAK kenderaan kini dilengkapi dengan kamera papan pemuka atau dashcam sebagai salah satu bahan bukti penting seandainya berlaku kemalangan.

Biasanya dalam sesuatu kemalangan, kenderaan yang melanggar dari arah belakang sering dipersalahkan jika tiada sebarang bukti selain kata-kata mangsa yang terlibat.

Dengan adanya dashcam, rakaman kenderaan di hadapan yang misalnya menukar lorong secara tiba-tiba tanpa memberi sebarang isyarat boleh dijadikan bahan bukti bagi menunjukkan siapa yang bersalah sebenarnya.

Begitu pun, sejak kebelakangan ini Merak Jalanan lihat rakaman dashcam ini sering disalahgunakan dengan dimuat naik di media sosial walaupun kemalangan dirakam tidak melibatkan kenderaan si pemuat naik video itu.

Mungkin niat pemuat naik video itu murni agar kesalahan yang berjaya dirakam dapat dijadikan iktibar dan tidak diulangi oleh pihak lain.

Namun yang tidak moleknya, komen-komen yang ditulis di video berkenaan bukanlah mendoakan mangsa terselamat sebaliknya mengutuk mangsa dengan kata-kata yang tak enak didengari.

Antaranya: "Padan muka, siapa suruh mencelah di tengah-tengah kenderaan" pada video kemalangan melibatkan sebuah motosikal melanggar kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Terdapat juga satu video motosikal dilanggar sebuah kereta dari ketika melakukan pusingan U hingga menyebabkan penunggangnya tercampak jauh.

Artikel Berkaitan:

Daripada mendoakan keselamatan penunggang motosikal itu, terdapat komen: "Mampus pun bagus, siapa suruh buat U-turn kat situ"

Jika komen sebegini dibaca oleh ahli keluarga si mangsa, apa perasaan mereka. Lagipun, mana tahu satu hari nanti kita pula jadi mangsa kemalangan.

Daripada menjadi netizen 'mulut longkang' yang mengutuk mangsa kemalangan, baik doakan yang terbaik untuk mereka dan berharap kejadian itu dapat dijadikan iktibar. Inikan lebih baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!