Proaktif gilap bakat pelari pecut

Danish (kiri) dan Nur Afrina mengungguli acara 100m SUKMA Sarawak 2024 di Kuching. (Gambar kecil: Nazmizan)
Danish (kiri) dan Nur Afrina mengungguli acara 100m SUKMA Sarawak 2024 di Kuching. (Gambar kecil: Nazmizan)
A
A
A

KEMUNCULAN raja dan ratu pecut baharu Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menjadi petanda positif buat sukan olahraga bahawa negara tidak ketandusan bakat baharu yang wajar digilap menerusi sistem bersepadu untuk diketengahkan ke pentas antarabangsa.

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad berkata, pemegang taruh termasuk Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu lebih terbuka dan proaktif memantau serta membantu meningkatkan prestasi mereka ke tahap tertinggi.

"Perjalanan masih jauh, namun mereka mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih besar dan mencabar. SUKMA masih relevan bagi mencungkil bakat muda serta pelapis.

"Ke mana hendak pergi dan apa hala tuju mereka selepas SUKMA. Jadi KOM perlu lebih terbuka menerima dan membantu mereka. Bakat mereka perlu digilap dengan betul untuk membentuk generasi baharu olahraga negara," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Atlet muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengungguli 100 meter (m) setelah menamatkan acara riben biru itu dengan catatan 10.53 saat (s), manakala Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor pula menjuarai bagi kategori wanita menerusi masa 11.64s.

Nazmizan berpandangan bahawa KOM wajar memberi apa sahaja sokongan dan bantuan sambil para pelari pecut itu kekal berlatih bersama jurulatih mereka.

Menurut beliau, sokongan bukan sahaja diberikan kepada sang juara semata-mata, sebaliknya kesemua pelari yang masuk ke pusingan akhir wajar dihulurkan bantuan.

"Danish mungkin ada jurulatih di Johor dan mempunyai perancangan sendiri. Jadi mungkin dia boleh kekal di Johor. KOM beri bantuan mungkin daripada aspek suplemen, sains sukan dan psikologi.

Artikel Berkaitan:

"Prestasi atlet ada pasang surut. Tidak semestinya pelari yang muncul juara akan kekal juara, malah ada juga atlet yang dapat nombor lima mampu muncul sebagai pemenang.

"KOM boleh kutip data dari SUKMA untuk membuat perancangan teliti dan berkesan dengan kerjasama jurulatih-jurulatih yang berada di negeri. Kesemua atlet (finalis 100m) ini wajar didedahkan dengan lebih banyak kejohanan di dalam dan luar negara," katanya.

Nazmizan melihat pendekatan berbeza mungkin boleh diterap buat Nur Afrina dengan memberi fokus untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.

"Nur Afrina merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou. Tahap dia sudah berbeza dan apa yang penting prestasi dan catatan masanya perlu terus diperbaiki serta konsisten," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!