Fahami makna sebenar kemerdekaan

Al-Quran tidak boleh dilihat hanya sebagai satu kitab suci untuk dibaca tapi yang penting taddaburnya.” - Awang Sariyan
Al-Quran tidak boleh dilihat hanya sebagai satu kitab suci untuk dibaca tapi yang penting taddaburnya.” - Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Al-Quran merupakan panduan utama bagi seluruh masyarakat terutamanya umat Islam untuk merujuk dan memahami makna sebenar kemerdekaan menerusi surah yang terkandung dalam kitab suci itu.

Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, kemerdekaan yang sebenar bagi umat Islam bukan sahaja bebas daripada kuasa penjajah dan cengkaman politik tetapi pembebasan jiwa serta diri daripada beberapa aspek berkaitan penyelewengan akidah.

“Al-Quran tidak boleh dilihat hanya sebagai satu kitab suci untuk dibaca tapi yang penting taddaburnya iaitu bagaimana kita menghayati ibrah atau ajaran terkandung dalam surah yang diwahyukan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

“Jadi, menerusi program Malaysia #QuranHour ini kita dapat menyampaikan perutusan ALLAH SWT tentang keperluan manusia sebagai khalifatullah untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam semua aspek kehidupan.

“Tidak kira sama ada soal pimpinan negara dalam menjaga masalah masyarakat, menyemarakkan ekonomi atau menjaga alam sekitar. Pokoknya seluruh kehidupan manusia dunia dan akhirat itu terangkum dalam al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Awang memaklumkan, Rukun Negara mampu menjadi teras dalam membentuk sahsiah dan komuniti yang saling menghormati serta memahami antara satu sama lain sekiranya mereka diterapkan selaras dengan ajaran al-Quran.

Tambah beliau, Rukun Negara merupakan strategi atau wasilah untuk menyedarkan komuniti bahawa al-Quran itu lengkap, tuntas dan komprehensif dalam memberi makna sebenar merdeka.

“Andai kata lima matlamat daripada Rukun Negara betul-betul dihayati dan dilaksanakan, saya yakin kita dapat membina negara yang utuh serta melahirkan masyarakat bertamadun tinggi sesuai dengan makna Madani.

Artikel Berkaitan:

“Program Malaysia #QuranHour ini secara tidak langsung menyedarkan masyarakat termasuk bukan Islam bahawa ini bukan program khas orang Islam sahaja kerana al-Quran merupakan kalam ALLAH yang ditujukan kepada semua manusia.

“Jadi di sini, kita mahu mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama mendalami erti sebenar Rukun Negara menerusi surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat,” ujarnya.

Program Malaysia #QuranHour yang memasuki tahun ke-10 itu bakal diadakan serentak di seluruh negara dan disiarkan secara langsung dari lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selama satu jam bermula jam 10 pagi.

Tema yang dibawa adalah ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’ bagi mendalami erti sebenar Rukun Negara menerusi surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!