Rantau Panjang kian sendu

Ada pemilik premis di Bazar Siti Fatimah terpaksa menutup perniagaan akibat kurangnya sambutan pelanggan. (Gambar kecil: Zamri)
Ada pemilik premis di Bazar Siti Fatimah terpaksa menutup perniagaan akibat kurangnya sambutan pelanggan. (Gambar kecil: Zamri)
A
A
A

SATU ketika dahulu, Rantau Panjang di Kelantan antara lokasi tersenarai sebagai kawasan tumpuan pelancong dari seluruh Semenanjung untuk mendapatkan barang keperluan dengan harga murah dan berkualiti dari Thailand.

Kini, suasana di Rantau Panjang tidak semeriah dahulu apabila banyak perniagaan kelihatan suram.

Ikuti tinjauan bersama wartawan ASWANY OMAR di pekan Rantau Panjang bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi terkini yang melanda lokasi beli-belah terkenal dalam kalangan kaum ibu.

Rantau Panjang terkenal dengan jualan pelbagai barangan dan cenderahati terletak berhampiran Sungai Golok, Narathiwat, Thailand.

Terletak kira-kira 39 kilometer (km) dari Kota Bharu, lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan barangan dengan harga lebih murah berbanding tempat lain di seluruh negara.

Suasana premis sekitar Rantau Panjang yang lengang.
Suasana premis sekitar Rantau Panjang yang lengang.

Namun, kini keadaannya berubah apabila lokasi berkenaan menjadi kian suram tanpa kehadiran pengunjung.

Peniaga pakaian dan tudung, Che Morniza Che Abu Bakar, 41, mendakwa, pekan Rantau Panjang semakin suram berbanding beberapa tahun lalu dan banyak barangan tidak terjual.

Artikel Berkaitan:

Menurut Che Morniza, antara punca ketiadaan pengunjung berikutan video tular di media sosial mengenai peniaga meletakkan harga tinggi jika mendengar pelanggan berkomunikasi dalam loghat selain Kelantan.

“Dakwaan ini salah kerana kami tidak pernah memilih pelanggan dan harga dipamerkan pada barang dijual. Bagaimana kami boleh menipu?” katanya.

Che Morniza (kiri) menyusun pakaian di kedainya.
Che Morniza (kiri) menyusun pakaian di kedainya.

Che Morniza juga mendakwa ada hari yang langsung tiada pelanggan tetapi tetap meneruskan perniagaan dengan harapan ada pelanggan sudi melihat atau membeli barangan dijual.

“Hari ini enam pelanggan masuk ke kedai tetapi hanya membeli barangan sampingan berharga bawah RM10. Itu sahaja pendapatan kami hari ini,” katanya.

Ujarnya, berikutan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Ogos lalu, dia berharap ada lembaran baharu untuk peniaga selepas pemimpin itu meninjau kawasan berkenaan.

Nafisah
Nafisah

Peniaga kraf, Nafisah Wahab, 55, turut sependapat dan mengakui pekan itu tidak semeriah dahulu kerana orang ramai lebih berhati-hati ketika berbelanja menyebabkan peniaga terkesan.

Nafisah yang sudah 22 tahun berniaga memaklumkan, pendapatan peniaga meningkat sedikit pada waktu cuti persekolahan atau hujung minggu walaupun tidak setinggi seperti beberapa tahun lalu.

“Kenaikan mata wang Thailand juga mungkin antara faktor kami terkesan kerana terpaksa membeli stok barangan pada harga yang tinggi.

“Saya juga tidak boleh menyalahkan pelanggan kerana mereka juga ada komitmen dan terpaksa mengawal kehendak dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Nafisah enggan menyalahkan masalah ekonomi 100 peratus kerana seluruh dunia turut berdepan masalah sama.

Pekan Rantau Panjang kelihatan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.
Pekan Rantau Panjang kelihatan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

Sebelum ini, tular video keluhan seorang peniaga di kawasan itu yang sedih mengenai perniagaan mereka yang tidak mendapat sambutan.

Peniaga wanita berkenaan meminta orang ramai kembali beli-belah di kawasan berkenaan sambil memaparkan beberapa kedai yang tiada pelanggan dan ditutup.

Sementara itu, peniaga air dan makanan ringan, Fazielah Mohd Ghani, 32, berkata, sebelum dunia diserang Covid-19, kawasan bebas cukai itu meriah dengan deruan bas dan kenderaan pelancong, namun segalanya berubah.

“Kini bas pelancong juga berkurangan tetapi kami masih berharap ada rezeki pada hujung minggu kerana ada pelanggan dari daerah lain yang datang untuk bersantai,” katanya.

Fazielah yang berniaga bersama suami, Mohammed Muhafiz Ahmad, 32, memaklumkan orang ramai dilihat berkumpul di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk memasuki Thailand terutama pada Khamis.

“Mungkin mereka lebih seronok melancong ke Thailand dan kita juga perlu ada idea yang lebih baik seperti pentadbiran mereka,” katanya.

Tiada tarikan baharu, pengunjung beralih arah ke negara jiran

Pekan Rantau Panjang perlu mempunyai satu identiti khas yang boleh memperkenalkan semula daerah pusat beli-belah bebas cukai itu kepada pelancong.

Pengerusi Persatuan Bazar Siti Fatimah Rantau Panjang, Zamri Idris mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membina landskap lebih menarik sebagai daya tarikan baharu.

Menurutnya, pekan itu tidak boleh lagi berada di takuk lama dan memerlukan pembaharuan.

Peniaga tetap membuka kedai jualan walaupun kekurangan pelanggan.
Peniaga tetap membuka kedai jualan walaupun kekurangan pelanggan.

“Hasil pemerhatian dan perkongsian daripada pelancong, mereka lebih suka ke seberang kerana banyak lokasi menarik yang boleh dijadikan kenangan sambil bersantai dan mengambil gambar.

“Alasan yang saya peroleh juga ialah pekan ini tiada identiti baharu dan masih di takuk lama,” katanya.

Jelasnya lagi, bijak menggunakan peluang pada zaman teknologi moden dapat membantu PBT mempromosikan lokasi menarik di situ.

“Selain membeli barang, pelancong yang datang juga mahu melihat kawasan menarik dan ketika itu mereka akan hebahkan kepada rakan,” katanya.

Beliau mengakui ramai peniaga di Bazar Siti Fatimah terpaksa menutup kedai apabila kekurangan pelanggan selain mengharapkan rezeki pada hujung minggu.

Tambah Zamri, persatuan berusaha membina landskap tanpa sebarang peruntukan dengan harapan dapat menarik pelanggan.

“Kami membina satu taman kecil di hadapan bazar kononnya untuk menghidupkan kawasan berkenaan.

“Sepatutnya pemimpin berkaitan yang bermesyuarat dan melakukan lawatan di luar negara pulang berkongsi manfaat dan adaptasikan ilmu yang diperoleh bagi membantu peniaga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!