'Tiada lagi tidur malam yang lena'
GENTING GAZA - Ketika malam menjelma di Genting Gaza, penduduk Palestin yang berlindung di bawah khemah plastik terus diselubungi kegelapan selain dihimpit ketakutan dengan bunyi dron Israel yang sentiasa berlegar-legar di ruang udara.
“Ibu, saya mahu tidur dalam pelukanmu. Saya tidak mahu mati," kata Yasmin, 6, yang terus mendakap ibunya.
Safa Abu Yasin memandang sayu anaknya itu.
“Anak-anak saya takut mahu tidur. Saya juga bimbang dengan nasib mereka yang masih tidak pasti,” ujarnya yang kini tinggal di zon selamat ciptaan Israel di al-Mawasi bersama empat puterinya.
Kawasan berkenaan semakin sesak dengan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak lebih 11 bulan lalu.
Safa memberitahu dia sering terjaga daripada lenanya kerana cuba menghentikan tangisan bayinya, Loujain yang baru dilahirkan pada April lalu.
“Amat sukar untuk menenangkannya. Saya mahu dia berasa selamat dan selesa walaupun tiada buaian,” katanya sambil menyanyikan lagu untuk mendodoikan anak-anaknya yang terpaksa tidur beralaskan tilam nipis dikongsi beramai-ramai.Seorang lagi wanita Palestin turut berasa lelah dengan perang genosid yang tiada tanda akan reda.
“Saya ‘rindu’ dengan bantal saya,” menurut Farah Sharshara, 32, yang berlindung di ‘bandar khemah’ di kawasan tengah Deir al-Balah, dikelilingi runtuhan struktur musnah dibedil oleh rejim Zionis.
Jelasnya, dia sudah lali dengan keadaan tersebut, sama seperti penduduk Palestin lain yang senasib dengannya.
“Pelbagai ragam boleh dilihat apabila sudah tinggal sebumbung walaupun berlainan keluarga untuk tempoh yang lama,” katanya sambil menjelaskan ‘hak privasi’ tidak lagi wujud buat mereka.
Rami juga berkongsi kisah yang serupa.
Khemahnya yang berukuram 6x4 meter kini menjadi tempat berlindung 27 ahli keluarganya.
“Sebelum perang tercetus, kami mempunyai bilik sendiri. Kini kami hanya tidur di atas tikar plastik,” jelasnya yang sudah berpindah-randah lebih lima kali sejak Oktober lalu.
MIMPI NGERI
Pada Mei lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 55 peratus struktur di Gaza telah binasa atau separa musnah.
Khemah plastik kemudiannya menjadi pilihan utama penduduk di Gaza, dengan sebahagiannya diedarkan oleh agensi bantuan dan ada yang terpaksa membeli pada harga tinggi berikutan permintaan meningkat.
Situasi menjadi semakin sukar apabila pihak berkuasa Israel tidak membenarkan penghantaran bekalan untuk membaik pulih tempat berlindung penduduk Gaza.
Disebabkan tiada pilihan, lebih ramai golongan yang hilang tempat tinggal terpaksa berteduh di bawah runtuhan bangunan atau di tepi jalan dalam keadaan serba daif.
Penduduk Palestin semakin terdesak hingga sanggup menyelongkar dan mendapatkan apa jua objek di bawah timbunan sampah yang boleh digunakan untuk meneruskan hidup mereka.
“Golongan itu berdepan kekurangan keperluan asas termasuk tidak lagi mendapat tidur berkualiti dan persekitaran yang tenang.
“Kebanyakan yang trauma atau sakit meminta ubat tidur, manakala ada yang sanggup berjaga sepanjang masa kerana mahu sentiasa bersedia untuk melarikan diri jika bahaya berlaku,” kata ahli psikologi di Doctors of the World, Eman Alakhras.
Masalah tersebut meningkatkan risiko sindrom tekanan pasca trauma, gangguan kognitif dan menjejaskan perkembangan kanak-kanak.
Mohammed Abdel Majid juga berasa sedih dengan penderitaan yang terpaksa dihadapi famili besarnya.
“Segala-galanya sudah berubah dan kini jadi mimpi ngeri buat kami. Kesemua 30 ahli keluarga saya terpaksa berhimpit di bawah satu khemah, mengharungi musim sejuk dan di bawah terik mentari ketika musim panas,” ujarnya dalam nada hiba. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!