Empangan Nenggiri: Orang Asli akan dipindahkan pertengahan 2026
GUA MUSANG - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan pembinaan Empangan Nenggiri dijangka akan dipindahkan ke penempatan baharu pada pertengahan 2026.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, setakat ini belum ada impak kepada masyarakat berkenaan kerana kerja-kerja pembinaan baharu berjalan sebanyak 40.5 peratus.
"Bagaimanapun, proses penempatan baharu sedang dilaksanakan. Pada masa ini tempat yang terlibat dengan Orang Asli masih tiada apa-apa pekerjaan yang dilakukan di kawasan terbabit.
"Orang Asli yang terlibat masih ada di kawasan kampung mereka," katanya kepada pemberita semasa Lawatan Media ke Tapak Projek Hidroelektrik Nenggiri di sini.
Media tempatan pada 5 Jun lalu melaporkan lebih 800 penduduk Orang Asli kaum Temiar yang terbabit dengan projek Empangan Nenggiri berharap projek terbabit siap mengikut jadual ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Jenny Adik berkata, dia difahamkan pembinaan penempatan baharu seperti rumah, ladang serta sekolah untuk Orang Asli di Pos Tohoi dan Pos Pulat sedang dilakukan.
Penduduk bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa sekiranya diarahkan pihak berwajib.
Untuk rekod, Empangan Nenggiri dibangunkan dengan kos RM5 bilion bagi menjana 300 mega watt (MW) elektrik dan dijangka beroperasi mulai 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!