Kapal karam: Pengerusi Morgan Stanley International antara yang hilang

Pasukan penyelam melancarkan pencarian mangsa hilang termasuk taikun teknologi Britain, Mike Lynch dan Pengerusi Morgan Stanley International selepas kapal layar mereka terbalik di pulau Sicily, Itali. Foto AFP
Pasukan penyelam melancarkan pencarian mangsa hilang termasuk taikun teknologi Britain, Mike Lynch dan Pengerusi Morgan Stanley International selepas kapal layar mereka terbalik di pulau Sicily, Itali. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pihak berkuasa Itali meneruskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran pada Selasa selepas kapal layar mewah milik jutawan teknologi Britain, Mike Lynch, tenggelam di luar pantai Sicily bagi mencari enam tetamu yang hilang, termasuk Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan isterinya, Judy Bloomer.

Lynch, 59, anak perempuannya Hannah yang berusia 18 tahun, dan rakan kongsi firma guaman antarabangsa Clifford Chance, Chris Morvillo juga masih belum dijumpai ketika misi menyelamat memasuki hari kedua, menurut laporan United Press International (UPI).

Kapal layar Bayesian sepanjang 56 meter itu tenggelam dengan 22 orang berada di kapal selepas terkena sengkayan semasa ribut pada awal pagi Isnin.

Jabatan Perlindungan Awam Sicily berkata, isteri Lynch, Angela Bacares; Charlotte Golunski, suaminya James dan anak perempuan mereka yang berusia satu tahun, Sophie; Ayla Ronald, seorang peguam New Zealand di Clifford Chance, dan pasangannya adalah antara 15 orang yang berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat Bayesian dan kemudian diselamatkan.

Lapan daripada mangsa yang terselamat telah dibawa ke hospital.

Operasi menyelamat sedang diselaraskan oleh pengawal pantai yang melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelam dari pengawal pantai serta tentera laut. Foto AFP
Operasi menyelamat sedang diselaraskan oleh pengawal pantai yang melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelam dari pengawal pantai serta tentera laut. Foto AFP

Satu mayat telah ditemukan, seorang lelaki yang dipercayai sebagai cef kapal berkenaan, menurut laporan itu.

Operasi menyelamat sedang diselaraskan oleh pengawal pantai yang melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelam dari pengawal pantai serta tentera laut.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Bomba Palermo berkata, pasukan penyelamnya juga telah menyertai misi tersebut.

Penyelaman pertama pasukan bomba, yang menggunakan penyelam gua khusus untuk ke bangkai kapal yang terletak di dasar laut pada kedalaman 50 meter di bawah Laut Mediterranean pada malam Isnin, gagal menemui apa-apa.

"Pemeriksaan pertama oleh penyelam gua di dalam bangkai kapal tidak berjaya. Akses ke jambatan terhad, dengan kesukaran disebabkan oleh perabot yang menghalang laluan," lapor UPI yang memetik laporan jabatan itu dalam satu hantaran di X.

The Telegraph pula melaporkan bahawa kumpulan itu berada di atas kapal layar Bayesian untuk pelayaran 'kemenangan' meraikan pembebasan Lynch setelah pertarungan undang-undang selama 13 tahun yang menyaksikan beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat tahun lepas untuk dibicarakan atas tuduhan penipuan berkaitan penjualan syarikatnya, Autonomy, kepada Hewlett Packard dengan nilai AS$11 bilion.

Beliau dituduh menaikkan nilai syarikat perisian yang diasaskannya tetapi pada Jun lepas juri di sebuah mahkamah persekutuan di San Francisco membebaskannya dan Stephen Chamberlain yang turut didakwa bersamanya, daripada semua 15 pertuduhan penipuan. - Bernama-UPI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!