Rakan bagi rumah tanpa perlu bayar sewa - Mangsa kebakaran
KUANTAN - Sebuah keluarga bernasib baik apabila rakan sudi menyediakan tempat tinggal selepas rumah disewanya musnah dalam kebakaran di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini pada Khamis lalu.
Peniaga, Nur Fateha Muhamad Said,47, tidak menyangka rakannya itu bermurah hati untuk membantu disaat mereka sekeluarga buntu memikirkan tempat tinggal baharu.
Malah, dia bersama suaminya, Mohd Nazmi Md Nor, 47, terharu dengan tindakan rakannya kerana bantuan dihulurkan itu tanpa mengharapkan balasan.
"Kami tumpang di rumah rakan di Alor Gajah dekat sini dan kebetulan dia (rakan) ikut suami balik ke Kelantan.
"Jadi, (sementara) rumah itu kosong, dia bagi saya, suami dan anak-anak tinggal tanpa perlu bayar sewa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini.
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menziarahi tiga keluarga mangsa kebakaran pada Isnin
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pada 15 Ogos lalu, rumah sewa dihuni Nur Fateha mengalami kebakaran 80 peratus manakala dua lagi rumah masing-masing 40 peratus, namun tidak membabitkan mangsa dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, ibu kepada dua anak itu berkata, mereka sekeluarga reda, biarpun masih bersedih kerana tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.
Bercerita lanjut, Nur Fateha berkata, mereka sekeluarga tidak berada di rumah sewaktu kejadian kerana keluar makan.
"Selepas itu, saya dihubungi jiran yang memaklumkan rumah terbakar, saya bergegas pulang ke rumah tanpa sempat menjamu selera.
"Bila tiba, tiada apa dapat diselamatkan dan semua terbakar seperti barangan rumah, kelengkapan niaga termasuk dua buah motosikal, barang kemas serta wang tunai," jelasnya yang masih belum mengetahui punca kebakaran itu daripada pihak bomba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!