Tujuh samseng jalanan kena cekup, motosikal disita
JOHOR BAHRU - Seramai tujuh individu berusia berusia 14 hingga 21 tahun ditahan kerana didapati memandu secara melulu dan berbahaya dalam satu operasi khas Samseng Jalanan dekat sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, selain penahanan kesemua individu warga tempatan terbabit lima motosikal mereka turut disita dalam operasi berkenaan.
"Operasi ini dijalankan serentak di seluruh daerah mulai Sabtu dan Ahad lalu dengan melibatkan 14 pegawai kanan dan 84 pegawai rendah polis di sekitar daerah ini.
“Sepanjang operasi tersebut, seramai 902 individu dan 820 kenderaan diperiksa manakala 660 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 120 motosikal pula turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987,” katanya.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dengan denda berjumlah antara RM5,000 hingga RM20,000 manakala lesen memandu juga akan digantung selama dua tahun.
"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor akan terus menjalankan operasi samseng jalanan di seluruh daerah dalam mengesan dan mengambil tindakan terhadap 'hero jalanan' yang masih tidak serik serta terus tegar melanggar undang-undang dan peraturan lalulintas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!