Starlink mudahkan Orang Asli Kampung Sungai Tonggang promosi ekopelancongan

Penduduk, S Roha, 40, (kanan) dan Nurjina, 42, (dua, kiri) bersama meluangkan masa menggunakan telefon bimbit di Kampung Sungai Tonggang ketika ditemui baru-baru ini. Foto Bernama
Penduduk, S Roha, 40, (kanan) dan Nurjina, 42, (dua, kiri) bersama meluangkan masa menggunakan telefon bimbit di Kampung Sungai Tonggang ketika ditemui baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pemasangan perkhidmatan Internet Satelit Starlink di Kampung Sungai Tonggang, Ulu Kinta di sini ternyata memberi impak positif kepada Orang Asli di kawasan itu selepas ia dimanfaatkan untuk mempromosi ekopelancongan serta kegunaan harian di perkampungan tersebut.

Tok Batin Kampung Sungai Tonggang, Che Wan Alang berkata, pemasangan Starlink di kampung berkenaan pada Ogos 2023 dilakukan selepas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memerhatikan kualiti internet lemah di lokasi tersebut.

"Alhamdulillah, selepas pemasangan satelit Starlink daripada Kementerian Komunikasi penduduk kampung dapat nikmati internet dengan baik terutamanya bagi kegunaan mendapatkan maklumat dan berita semasa serta berhubung dengan orang luar.

No Image Caption

"Kerajaan juga telah memasang satu lagi Internet satelit Starlink bagi ekopelancongan di Kayuh D’Tonggang pada Julai lepas untuk memanfaatkan pengunjung yang datang ke kawasan rekreasi ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Che Wan berkata, kemudahan internet ini membolehkan pihaknya dan masyarakat Orang Asli mempromosikan kawasan pelancongan itu dan menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus meningkatkan ekonomi orang kampung tersebut.

"Perkhidmatan Internet satelit Starlink terdapat di dewan kampung boleh diakses secara percuma, manakala satu lagi dipasang di lokasi rekreasi, tetapi di sini orang ramai perlu membeli baucar internet bernilai RM25 untuk 25GB bagi mengakses internet.

Artikel Berkaitan:

Che Wan menunjukkan modem Starlink yang dipasang di Kampung Sungai Tonggang. Foto Bernama
Che Wan menunjukkan modem Starlink yang dipasang di Kampung Sungai Tonggang. Foto Bernama

"Ekopelancongan Kayuh D’Tonggang dibina selepas kami menubuhkan Koperasi Kampung Orang Asli Tonggang Berhad pada 2021. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kayuh basikal di sungai dan sukan lasak, yang menjanjikan keseronokan serta pemandangan indah bandar Ipoh,” katanya.

Selain itu, Mohd Zaim Mat Nginngan, 20, seorang daripada renjer belia yang bertugas di Sungai Seno’i berkata, penggunaan internet kini sangat memuaskan dan banyak membantu beliau dan rakan-rakan dalam menguruskan sungai serta ekopelancongan Kayuh D’Tonggang.

Che Wan menggunakan telefon bimbit di kaunter pendaftaran Kayuh D’Tonggang. Foto Bernama
Che Wan menggunakan telefon bimbit di kaunter pendaftaran Kayuh D’Tonggang. Foto Bernama

"Kebiasaanya sebagai renjer sungai, kami akan merujuk beberapa maklumat berhubung situasi, penjagaan dan ilmu tentang sungai yang diperoleh daripada sumber internet dan perkara ini membantu kami dalam menjaga serta mengenali ekosistem di sungai.

"Selain itu, dengan adanya internet di kampung ini ia juga membantu renjer dan pekerja di ekopelancongan untuk memberitahu orang di luar sana tentang keunikan, kelebihan, dan kepelbagaian aktiviti yang terdapat di kawasan rekreasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Global Environment Centre, Faisal Parish berkata, kejayaan pembukaan ekopelancongan Kayuh D’Tonggang merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan pihaknya menerusi Program Penjagaan Sungai (River Care Programme).

"Kejayaan program di kampung Orang Asli ini dijadikan sebagai contoh kepada komuniti lain dalam menjaga dan memulihara sungai, selain bukti penjagaan sungai juga dapat menjana ekonomi untuk penduduk di sini.

"Kami juga ingin memberi semangat kepada Orang Asli untuk mengiktiraf kemahiran mereka dan mempamerkan pengetahuan mereka kepada orang luar. Ada kalanya, Orang Asli tidak mempunyai sokongan yang kuat atau tidak berada di hadapan, tetapi kami melihat mereka sebagai penjaga hutan yang sebenar, malah lebih baik daripada kami," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!