Tali barut 'setting' kaunter lepaskan warga asing raih jutaan ringgit

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Azam Baki
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan penguat kuasa yang menjadi tali barut kepada sindiket kemasukan warga asing ke negara ini membawa padah apabila modus operandi 'setting' kaunter dibongkarkan menerusi Ops Pump.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mendedahkan, sindiket terbabit dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kemasukan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal secara tidak sah.

"Siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menjelaskan mengenai modus operandi, beliau berkata, sindiket terbabit akan membuat 'setting' kaunter iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu dipercayai bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

Menurutnya, kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan dan bertindak menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.

"Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu.

"Pada masa sama, sindiket akan memaklum kepada warga asing terlibat untuk pergi ke kaunter terbabit sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, kumpulan warga asing terbabit sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021 iaitu hendaklah mengemukakan pasport atau dokumen sah, mempunyai visa, tiket perjalanan pergi balik, wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara selain perlu menunjukkan alamat penginapan atau tempahan hotel.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, menerusi kaunter khas ini, mereka telah diberi pelepasan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Sehubungan itu, 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kesemua suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses permohonan reman.

Pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh tidak menolak kemungkinan ada pegawainya terlibat dengan sindiket ejen haram Pas Lawatan Sosial (PLS) susulan penahanan empat warga tempatan termasuk dua dalang utama sindiket hasil serbuan terhadap tujuh lokasi berbeza dalam Operasi Khas pada 15 Ogos lalu.

Ringkasan berita:

  • Pembongkaran: Sindiket 'setting' kaunter oleh penguat kuasa untuk kemasukan warga asing secara tidak sah didedahkan melalui Ops Pump.
  • Keuntungan: Sindiket meraih jutaan ringgit dari kemasukan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal.
  • Modus Operandi: Sindiket bersekongkol dengan penguat kuasa di kaunter tertentu untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan sah.
  • Kewangan: Lebih RM4 juta dikesan masuk dari tahun 2022 hingga 2024 untuk urusan kemasukan warga asing.
  • Penahanan: 12 individu, termasuk 9 lelaki dan 3 wanita, ditahan SPRM di Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Kelantan.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!