Semboyan Malaysia tumpu isu harga barang, bukan politik - Yusuf Azmi
SHAH ALAM - Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia), Yusuf Azmi menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba mengheret dirinya dalam perbalahan politik membabitkan kes Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tegasnya, pendirian badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya sejak awal penubuhannya hingga kini jelas memfokuskan kepada isu rakyat iaitu kos sara hidup dan harga barang.
Menurutnya, dakwaan beliau mengunci mulut daripada mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu juga tidak benar sama sekali.
"Kita boleh bercakap soal Raja Melayu, soal yang melibatkan agama Islam ditindas, dihina dan sebagainya, tetapi saya lihat apa yang berlaku (perbalahan di media sosial) antara komponen dua parti dan kedua-dua mereka ini mempunyai keutamaan sendiri.
"Keutamaan saya adalah masyarakat. Masalah masyarakat hari ini melibatkan harga barang, kos sara hidup.
"Pendirian saya juga jelas dari dulu sampai kini yang mana saya bercakap soal kos sara hidup sahaja, soal harga barang.
"Kita di sini semua jelas apa yang rakyat hendak, apa yang Raja hendak. Rakyat dan Institusi Raja-Raja Melayu mahukan kemakmuran," katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Media sebelum ini melaporkan, pelbagai pihak terus menyelar Muhyiddin yang juga PengerusiPerikatan Nasional (PN) yang didakwa sengaja menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Neggiri baru-baru ini sehingga mencetuskan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Susulan itu, penyokong pembangkang dan kerajaan saling berbalas serangan di media sosial berhubung kontroversi tersebut.
Sementara itu, Yusof dalam masa sama turut menjelaskan, semua pihak seharusnya memahami bahawa setiap NGO mempunyai pendirian masing-masing mengenai objektif penubuhannya.
Menurutnya, tidak adil menuduh dirinya dan Semboyan Malaysia dengan dakwaan yang tidak berasas demi memenuhi kepentingan politik masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!