MAIDAM peruntuk RM14 juta bagi KAHA 2024
KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi agihan Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) MAIDAM 2024 pada tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, agihan fasa pertama melibatkan jumlah sebanyak RM10.2 juta telah diberikan kepada 18,761 Ketua Isi Rumah (KIR) asnaf fakir dan miskin di negeri itu.
Tambah beliau, baki sebanyak RM3.8 juta lagi akan diagihkan pada fasa berikutnya.
“Agihan bantuan KAHA 2024 disalurkan secara berperingkat dan dibayar terus ke akaun penerima.
“KAHA 2024 merupakan pelaksanaan kali ketiga. Ia mula diperkenalkan pada 2022 dan lebih istimewa apabila penganjuran KAHA pada tahun ini bersempena sambutan ke-75 tahun MAIDAM.
“Program ini merupakan salah satu kaedah agihan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin, selain skim-skim bantuan sedia ada,” katanya pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada Fakir Miskin sempena KAHA MAIDAM 2024 di Masjid Al-Muttaqin di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, lebih menarik pembayar zakat turut dijemput hadir bersama-sama dengan pengurusan MAIDAM bagi menyantuni asnaf fakir miskin menerusi konvoi ke rumah-rumah asnaf.
Menurutnya, ia secara tidak langsung membolehkan pembayar zakat mendekati golongan kurang bernasib baik yang mendapat manfaat daripada zakat ditunaikan kepada MAIDAM.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Azmi Yusof berterima kasih atas sumbangan diberikan kerana ia dapat meringankan beban dalam menyara anak-anaknya yang masih kecil dan menampung perbelanjaan harian keluarga.
Dalam pada itu, Shaikh Harun menjelaskan jumlah kutipan zakat sehingga 18 Ogos lepas merekodkan sebanyak RM163.87 juta, manakala jumlah agihan zakat sebanyak RM210.58 juta.
“Kita mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pembayar zakat di atas tanggungjawab yang telah ditunaikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!