'Saya sahaja tak diapa-apakan sebab ayah sayang' - Anak suspek kes bunuh

Halimaton Shaadiah (kanan) bermesra dengan kanak-kanak lelaki berkenaan di Pejabat JKM Kedah pada Rabu.
Halimaton Shaadiah (kanan) bermesra dengan kanak-kanak lelaki berkenaan di Pejabat JKM Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Anak lelaki kepada suspek kes bunuh isteri dan dua anaknya akan ditempatkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kanak-kanak berusia lima tahun itu turut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Selasa petang untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit kelihatan trauma dengan kejadian yang berlaku, namun masih mahu berkomunikasi apabila ditanya.

"Tiada kecederaan fizikal dikenal pasti pada kanak-kanak ini cuma ada sedikit kesan calar pada muka.

"Kanak-kanak ini anak kedua, dia ada beritahu, ayah (suspek) sayang dia sebab itu dia tak diapa-apakan," katanya ketika ditemui di Pejabat JKM Kedah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Menurutnya, langkah penyelamatan kanak-kanak bukan warganegara ini adalah selari dengan Seksyen 17(1)(i) Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1995 yang ditandatangani oleh pihak Malaysia pada 17 Mei 1995.

"Bagaimanapun pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) tidak boleh dijadikan anak angkat kerana mereka bukan warganegara.

Artikel Berkaitan:

"Jadi JKM mengalu-alukan komuniti warga Myanmar sekiranya hendak mengambil kanak-kanak ini untuk dijaga," katanya.

Halimaton Shaadiah berkata, masyarakat diseru agar terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan melaporkan sebarang kes kenderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau WhatsApp di talian 019-2615999 yang beroperasi selama 24 jam.

Pada Selasa, seorang lelaki warga Myanmar berusia 43 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kejadian bunuh isteri dan dua anaknya dengan kesan kelar di leher yang ditemui di dua lokasi berasingan.

Mayat isterinya yang berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala, di sini pada Isnin dengan kesan kelar di leher.

Kemudian disusuli penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah pada jam 12 tengah hari pada Selasa yang disyaki anak ketiga suspek.

Suspek yang juga seorang gelandangan disahkan positif tiga jenis dadah ketika ditahan di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang pada Isnin malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!