Polis Kelantan lupus barang kes lebih RM89.3 juta

Muhamad Zaki (dua dari kanan) melihat barang kes yang akan dilupuskan.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) melihat barang kes yang akan dilupuskan.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan melupuskan 14 barang kes membabitkan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM89.3 juta sejak 1997 sehingga tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, antara barang kes yang dilupuskan ialah pelbagai jenis dadah, ubat batuk dan air ketum.

Menurut beliau, turut dilupuskan 3,808 kertas siasatan yang sudah melalui proses mahkamah dan mendapat kelulusan untuk pelupusan.

"Proses pelupusan barang kes ini dilakukan dengan kerjasama syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang akan membawanya ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan," katanya pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, pelupusan kali pertama pada tahun ini dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.

Barang kes paling lama yang dilupuskan ialah ubat batuk dirampas pada 1997.
Barang kes paling lama yang dilupuskan ialah ubat batuk dirampas pada 1997.

Muhamad Zaki turut memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merekodkan sebanyak 17,694 tangkapan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM10.33 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

"Kita juga berjaya menyita aset pengedar dadah yang dianggarkan berjumlah RM3.7 juta manakala seramai 69 individu diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, jumlah tangkapan juga meningkat selepas tindakan yang lebih terancang dan mengambil kira perkembangan semasa termasuk operasi di sempadan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!