Wan Ahmad Fayhsal cabar penggantungan di Dewan Rakyat ditarik balik

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengemukakan usul kepada pihak kerajaan supaya menarik balik penggantungan dirinya dalam Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau berbahas pada sidang Belanjawan 2025 pada Oktober ini.

Menurutnya, beliau sedia berbahas apa saja isu yang dibolehkan dalam aturan mesyuarat termasuk kes Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen di Pilihan Raya kecik (PRK) DUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

"Ahli Parlimen Jelutong buat dan sokong usul pihak kerajaan tarik balik penggantungan saya dalam Dewan Rakyat untuk saya berbahas dalam sidang Belanjawan 2025 Oktober ini.

"Kita lawan dalam Dewan Rakyat sebagai anak jantan, apa saja isu yang dibolehkan dalam aturan mesyuarat saya bersedia lawan! Ini belum apa-apa dah pukul curi guna kuasa majoriti halau saya keluar dewan.

"Bila saya cabar dua menteri lawan debat saya seorang mereka mengelak! Siapa sebenarnya yang bukan anak jantan?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Rayer membidas Wan Ahmad Fayhsal supaya menjadi anak jantan kerana menyalahkan media rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan yang didakwa menyunting klip video ucapan Muhyiddin.

Rayer turut mengulas tindakan Muhyiddin mempertahankan kenyataan dibuatnya di Felda Perasu, Kelantan semasa kempen PRK Nenggiri, yang menimbulkan kemarahan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, dalam soal Muhyiddin seperti dalam kenyataannya pada Isnin telah memberi jaminan akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk memberi keterangan dan beliau akan sentiasa menghormati lunas-lunas perundangan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!