Insentif penerbitan filem berjaya tarik pelaburan asing

Sebanyak 30 kategori anugerah dipertandingkan, dengan penyertaan mula dibuka bermula hari ini sehingga 6 September depan.
Sebanyak 30 kategori anugerah dipertandingkan, dengan penyertaan mula dibuka bermula hari ini sehingga 6 September depan.
A
A
A

PEMBERIAN Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) berjaya menarik pelaburan asing yang signifikan dan merancakkan aktiviti penggambaran filem di dalam negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menyokong industri perfileman negara, selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab utama produksi filem di rantau Asia, dan sejak 2013 hingga 2023, pelaburan asing dan domestik bernilai RM2.4 bilion dalam aktiviti itu berjaya mewujudkan 22,820 peluang pekerjaan.

"Sebagai sektor yang mencipta peluang pekerjaan dan membuka ruang kepada inovasi, industri perfileman telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Contohnya penggambaran filem dan produksi kandungan kreatif bukan sahaja meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti teknologi, logistik dan pelancongan, tetapi juga mewujudkan rantaian nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di sini pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Nie Ching berkata, prestasi kutipan box-office filem tempatan juga menunjukkan perkembangan positif apabila 56 buah filem tempatan mencatatkan kutipan pecah panggung keseluruhan sebanyak RM98.8 juta tahun lepas.

"Menariknya sehingga bulan Mei tahun ini kutipan box office telah mencapai RM87 juta daripada 26 buah filem, yang hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun sebelumnya," katanya.

Mengenai FFM33 yang bakal berlangsung pada 7 Disember tahun ini, Nie Ching berkata, berdasarkan data yang diperoleh melalui Unit Galakan Industri dan penyertaan Skim Wajib Tayang, lebih 100 filem dijangka bertanding pada festival itu.

Artikel Berkaitan:

FFM33 merupakan festival filem bertaraf nasional yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Finas untuk mengiktiraf kecemerlangan kualiti filem dan bakat kreatif pada tahun semasa.

Sebanyak 30 kategori anugerah dipertandingkan, dengan penyertaan mula dibuka bermula hari ini sehingga 6 September depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!