[VIDEO] Lebih 2,000 anggota polis ditugaskan pada final Piala FA

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2,488 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan semasa perlawanan akhir Piala FA 2024 membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan memastikan kelancaran lalu lintas dan mengelakkan sebarang kekecohan.

Rusdi menunjukkan laluan yang akan ditutup dan dilencongkan ketika perlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
Rusdi menunjukkan laluan yang akan ditutup dan dilencongkan ketika perlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

"Kita menjangkakan kehadiran seramai 85,000 penyokong kedua-dua pasukan bagi menyaksikan perlawanan bola sepak itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur pada Rabu.

Rusdi berkata, kesemua pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 4 petang.

"Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin, kita akan melakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk bagi mengelakkan penonton membawa masuk barang larangan.

"Antara barangan larangan mercun, suar, topi keledar, sebarang objek tajam, minuman keras, payung, pemetik api, rokok dan rokok elektrik, drone, wisel serta pembesar suara," katanya.

Rusdi berkata, seramai 250 anggota dan pegawai Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (JSPT) akan ditempatkan bagi mengawal aliran trafik.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 4,968 lot parkir disediakan di sekitar stadium, sekiranya parkir telah penuh, kita akan membuat beberapa penutupan serta lencongan," katanya.

Menurutnya, antara laluan itu adalah penutupan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ke lampu isyarat Sukom, lencong ke Awan Kecil/Awan Besar.

"Penutupan jalan lampu isyarat Sukom ke arah Jalan Merah Cagar, lencong ke Awan Kecil/ Awan Besar; penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling.

"Penutupan susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam, penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling," katanya.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, laluan Puchong Link pula penutupan susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda Lencong Ke Kinrara.

"Penutupan susur Puchong Link ke Jalan Barat dari arah Kinrara, lencong ke Bulatan Kuda.

"Penyokong kedua-dua pasukan diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan sebarang provokasi. Patuhi arahan daripada pegawai dan anggota polis yang bertugas," katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyokong dan penonton yang melanggar arahan dan undang-undang yang sedia ada.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur (KL) di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL di talian 03-20719999," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!