Insurans kesihatan mental mampu tampung kos rawatan

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye.
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej insurans meliputi kesihatan mental merupakan satu langkah positif dan progresif bagi menampung kos perbelanjaan rawatan penghidap penyakit itu.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, apabila kerisauan berkaitan kos perbelanjaan dapat ditangani, maka lebih ramai pesakit akan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Menurutnya, dengan memasukkan kesihatan mental dalam perlindungan insurans, ia dapat mengurangkan stigma kerana isu tersebut dilihat seperti kesihatan fizikal yang boleh mengganggu sesiapa sahaja.

"Pada masa yang sama, ada antara mereka yang memutuskan tidak berjumpa dengan pakar disebabkan khuatir tentang kos perbelanjaan.

"Bayaran rawatan dan perubatan untuk masalah penyakit mental di pusat rawatan swasta begitu tinggi dan pesakit dari kalangan golongan B40 serta M40 tidak mampu kerana ada daripadanya memerlukan rawatan berpanjangan.

"Walaupun kita ada khidmat pakar psikiatri di hospital kerajaan yang berkualiti tinggi, kekurangan pakar dan waktu menunggu yang lama adalah satu cabaran besar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi memasukkan kesihatan mental dalam pakej insurans kesihatan ke arah usaha memberi pelindungan yang lebih meluas.

Timbalan Menteri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara tersebut pernah dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen sebelum ini mengenai keperluannya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Lam Thye, selama ini topik kesihatan mental kurang dibicarakan secara terbuka disebabkan oleh stigma masyarakat.

Jelas beliau, walaupun stigma itu semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia masih merupakan satu cabaran besar terutama kepada mereka yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental dan tidak pasti sama ada ingin mendapatkan rawatan atau tidak.

"Kesihatan mental adalah satu elemen penting dalam kesihatan keseluruhan setiap insan. Tanpa kesihatan mental, seseorang tidak dapat menjalankan hidup mereka dengan sejahtera.

"Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, seramai sejuta penduduk Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan. Ini adalah peningkatan sebanyak dua kali ganda dari empat tahun sebelumnya.

"Yang lebih membimbangkan apabila hampir separuh daripada mereka ada keinginan untuk mencederakan diri atau menamatkan hidup," katanya.

Menurutnya, apabila kerisauan tentang kos perbelanjaan dapat ditangani, kes-kes permulaan yang ringan dapat dicegah sebelum menjadi semakin teruk.

Ujar beliau, pencegahan juga boleh dicapai dengan perlindungan insuran yang meliputi khidmat saringan kesihatan mental.

"Banyak kajian mendapati bahawa masalah kewangan boleh memburukkan kesihatan mental seseorang.

"Apabila seseorang mendapat perlindungan insuran, beban kerisauan kos perbelanjaan dapat dikurangkan maka mereka akan dapat meluangkan lebih masa dan usaha kepada penambahbaikan kesejahteraan diri.

"Pengurangan stigma terhadap penyakit mental juga boleh menggalakkan seseorang lebih terbuka untuk berkongsi dan ini dapat meningkatkan sokongan emosi yang mereka peroleh," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!