Pengundi DUN Mahkota ramai, jentera UMNO gerak awal - Ahmad Maslan
PONTIAN – UMNO Johor telah membuat persiapan awal bagi menggerakkan seluruh jentera parti menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, susulan kawasan berkenaan mempunyai pengundi yang agak ramai iaitu 66,000 orang.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kekuatan jentera UMNO negeri yang mempunyai 26 bahagian UMNO akan digerakkan ke DUN Mahkota sebaik selesai sahaja Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Sabtu ini.
Menurutnya, pengalaman pada PRK DUN Nenggiri perlu diambil kira di mana jentera pilihan raya dari UMNO Johor ketika itu digerakkan awal memandangkan kawasan DUN berkenaan luas dan jauh untuk dihubungi.
"Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota sudah bertemu jentera termasuk UMNO Bahagian Kluang semalam bagi memperincikan persiapan menghadapi PRK itu.
"Saya pula akan ke Kluang pada Ahad dan Isnin depan bagi bertemu jentera parti supaya gerak kerja dapat dimulakan segera.
“Di DUN Mahkota, kawasannya tidak luas tetapi pengundinya ramai iaitu seramai 66,000 orang dengan 29 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding di DUN Nenggiri hanya 20 buah PDM," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ziarah Kasih di Kampung Parit Madirono, Benut di sini pada malam Selasa.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Daripada sejumlah 66,318 pengundi di DUN Mahkota, 52 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, gerak kerja di atur kepimpinan di peringkat bahagian dan negeri akan memastikan kerusi DUN Mahkota dimenangi Barisan Nasional (BN)
"Sama seperti di PRK DUN Nenggiri, bahagian UMNO dari seluruh negara juga akan ditugaskan sebagai bahagian angkat 29 PDM DUN Mahkota supaya dapat bertemu seramai mungkin pengundi kawasan itu.
"Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengarah PRK DUN Mahkota akan menyelaraskan semua gerak kerja dan dibantu saya sebagai timbalannya.
"Selain itu, kami turut dibantu Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday sebagai pengarah operasi manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai koordinator PRK DUN Mahkota," katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!