[VIDEO] Juruukur bahan UniSZA didenda RM12,500 terima rasuah

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Malike Mohamed, 52, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadap dirinya.

Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai.
Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai.

Mahkamah turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kesemua pertuduhan pilihan itu, Malike yang merupakan seorang penjawat awam bertugas sebagai juruukur bahan kanan di UniSZA telah menerima suatu barang berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai berjumlah RM6,500 melalui nombor akaun bank Islam daripada Azman Yusof.

Malike mengetahui Azman Yusof ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh itu sendiri.

Kesalahan itu dilakukan di Bank Islam, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu antara 27 Jun 2019 sehingga 24 Januari 2020.

Justeru, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala Malike diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.

Sementara itu, Ahmad Adha Amir Yasser merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan keluarga selain menyesali atas kesalahan pertama dilakukan.

"Tertuduh perlu menanggung ketiga anaknya yang masih belajar selain isterinya pula mempunyai sakit darah tinggi dan sakit saraf. Malah tertuduh juga perlu menjaga ibu mentuanya yang mempunyai masalah jantung.

"Tertuduh mempunyai rekod dan anugerah perkhidmatan cemerlang sebelum ini. Dia pernah mendapat sijil penghargaan iaitu kehadiran cemerlang tanpa cuti sakit selama enam tahun berturut-turut selain tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan tatatertib.

"Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesilapan yang sama," ujarnya.

Bagaimanapun, Tengku Nurul Haziqah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai bentuk pengajaran selain menyampaikan mesej bukan sahaja memberi keinsafan kepada tertuduh malah memberi peringatan kepada masyarakat di luar sana.

Dalam penghakiman, Mohd Azhar berkata, mahkamah berharap hukuman diberikan memberi pengajaran dan kebaikan kepada tertuduh dan masyarakat.

Mohd Azhar menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,500 kepada Malike atau hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut.

Mohd Azhar turut mengarahkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, tertuduh berdepan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana telah memperoleh suapan wang berjumlah wang sebanyak RM14,500 sebagai dorongan bagi melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat oleh syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd kepada pihak UniSZA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam di Kuala Terengganu antara 15 Mei 2019 sehingga 6 Julai 2020.

Selain itu, dia turut dituduh Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mana tertuduh mengetahui Azman ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya sendiri.

Bagaimanapun tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan di bawah seksyen 165 kanun keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!