Saya berjuang demi Sarawak, bukan habuan - Jonah
ATLET kebangsaan mewakili tuan rumah, Jonah Chang Rigan tidak selesa apabila soal insentif lebih menjadi buah mulut orang ramai berbanding pencapaian yang dilakarnya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Atlet berusia 21 tahun itu nyata sukar digugat apabila merangkul pingat emas peribadi keduanya selepas mendominasi acara lempar cakera lelaki di Stadium Sarawak di sini pada Rabu.
"Secara jujur ramai orang cakap pasal duit, bukan pencapaian saya. Sebenarnya saya tidak suka, saya berjuang demi Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas aksi final itu.
Meskipun saingan final diduga dengan cuaca sejuk dan hujan, Jonah yang mengungguli acara lontar peluru Isnin lepas, tidak berdepan masalah untuk merekodkan lemparan sejauh 46.16 meter (m) sekali gus menghadiahkan emas ketiga Sarawak dalam olahraga.
Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Riess William Ling dengan catatan 44.77m manakala Rizad Azri Che Radzi dari Perlis membawa pulang gangsa selepas melakukan 41.42m.
Mengulas mengenai persembahan hari ini, Jonah berpuas hati dengan prestasinya walaupun terpaksa menangani cabaran hujan dan permukaan platform lemparan yang licin.
"Hari ini sangat baik (prestasi) walaupun cuaca tidak bagus, tapi semangat berjuang untuk Sarawak itu tetap ada. Saya tak kisah pasal licin, saya cuma berikan yang terbaik, saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam proses pemulihan kecederaan bahu saya.
"Sekarang keadaan bahu saya lebih baik, tempoh hari (Isnin lepas) sangat sakit, tapi sekarang boleh lempar kuat sikit,” katanya yang akan turun beraksi dalam final baling tukul besi yang merupakan acara ketiga disertainya pada temasya kebangsaan dwitahunan itu.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan tentangan hebat akan diberikan terutama daripada Rizad Azri dalam usahanya memenuhi harapan untuk menggondol tiga emas.
"Saya tak pasti (emas ketiga) sebab atlet dari Perlis tadi yang dapat gangsa (lempar cakera) acara utama dia adalah baling tukul besi. Jadi kita tidak boleh mengharapkan terlalu tinggi pada Jumaat ini, ia akan menjadi pertarungan sengit antara Perlis dan Sarawak, semoga berjaya,” katanya.
Jonah berkata, sasaran utamanya Jumaat ini adalah untuk melakukan balingan sejauh 55m untuk memperbaharui catatan peribadi 53.54m di Terengganu, Julai lepas.
Terdahulu, final acara 10,000m lumba jalan kaki wanita menyaksikan altet Wilayah Persekutuan Kok Hui Ying menggondol emas dengan masa 57 minit 41.79 saat (s), diikuti rakan sepasukan P. Kaarthiyani di tempat kedua (58:09.69s) dan Nur Damea Balqisya Mohammad Idzwan dari Kedah ketiga dengan masa 58:38.80s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!