Polis cari suspek samun kedai runcit

Rakaman video yang tular menunjukkan suspek menyerang pemilik premis.
Rakaman video yang tular menunjukkan suspek menyerang pemilik premis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit berhampiran Pasar Awam Bagan Serai sepertimana video tular di media sosial semalam.

Lelaki dipercayai warga Indonesia itu dikesan memasuki kedai berkenaan seorang diri sekitar jam 7.06 pagi dengan bersenjatakan pisau, menggunakan penutup muka dan memakai topi besbol.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 66 tahun berseorangan di dalam kedai dan sedang bersiap untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, suspek menyerang mangsa dari arah belakang dengan meletakkan pisau di leher.

"Mangsa cuba untuk melawan tetapi tidak berjaya, suspek itu kemudiannya membuka laci kaunter dan mengambil wang dianggarkan sebanyak RM400.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, tiada saksi bebas ketika kejadian, namun usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Mangsa mengesyaki suspek warga Indonesia berdasarkan bahasa digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!