Suri rumah rugi lebih RM26,000 terperdaya pelaburan tidak wujud
JEMPOL - Seorang suri rumah kerugian lebih RM26,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan sebanyak RM11,000 seperti diiklankan di laman sosial Facebook, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 50 tahun itu membuat laporan polis tengah hari Selasa setelah merasa tertipu apabila tidak memperoleh pulangan wang yang dijanjikan.
"Kira-kira jam 10.11 malam, 4 Ogos lalu, mangsa yang berada di rumah terlihat satu iklan pelaburan dengan menawarkan modal permulaan RM300.
"Mangsa berminat dengan tawaran tersebut lalu berhubung melalui aplikasi WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM1,524 ke dalam akaun bank atas nama 'Siti' untuk urusan menaiktaraf had pelaburan.
"Mangsa juga diminta untuk membuat bayaran bagi urusan Bursa Malaysia serta perlu menjelaskan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus kerana wang pulangan tidak boleh dikeluarkan.
"Mangsa telah percaya dan menerima satu carta mengenai pelaburan selain turut diminta memasukkan bayaran. Namun sehingga laporan ini dibuat, mangsa masih lagi diminta untuk membuat pembayaran.
"Pihak polis telah mengambil tindakan untuk mengenal pasti suspek dan menyemak akaun-akaun suspek terlibat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan," katanya.
Dalam pada itu, Chang Hook meminta orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan modus operasi pelaburan tidak wujud.
"Sewajarnya semua urusan pelaburan serta urusan kewangan perlu mengikut saluran atau platform yang betul.
"Malah, urusan tersebut perlulah tidak secara atas talian dan perlu meragui apabila diminta untuk memasukkan duit ke dalam akaun atas nama pemilik berbeza," katanya.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank dan nombor telefon itu pernah terbabit dalam kes penipuan atau sebaliknya sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!