[VIDEO] Muhyiddin sekali lagi tegaskan tiada niat hina institusi raja

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi tampil menegaskan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini adalah fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara sepintas lalu.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, ucapan pada kempen tersebut menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan orang ramai.

Muhyiddin
Muhyiddin

Beliau berkata, terdapat pihak yang telah memutar belit kenyataannya termasuk menyunting video ucapan dengan niat untuk memfitnah kononnya dia telah menghina Yang Di-Pertuan Agong ke-16 serta menghasut rakyat supaya membenci raja.

"Dalam kenyataan saya kepada pihak polis pada hari ini, saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

"Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

"Tidak ada sepatahpun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Muhyiddin diambil keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabatnya dekat sini.

Tempoh rakaman percakapan yang dilakukan oleh pihak polis adalah selama sejam.

Antara yang hadir ke pejabat Muhyiddin ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, perkara yang diucapkan telah berlaku hampir dua tahun lalu.

Dalam tempoh itu juga jelas beliau, dia tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina dan membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.

Tegasnya lagi, dia juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya tambah beliau, pada November 2022, dia telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10.

"Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!