PRK DUN Mahkota: Presiden UMNO hadir mesyuarat Isnin depan

Ahmad (tengah) ketika ziarah kasih di Kampung Parit Madirono, Benut pada malam Selasa.
Ahmad (tengah) ketika ziarah kasih di Kampung Parit Madirono, Benut pada malam Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Satu mesyuarat berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diadakan pada Isnin depan di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat itu akan dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan UMNO dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor.

"Sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Ahad ini, Presiden UMNO (Ahmad Zahid) akan menghadiri mesyuarat PRK DUN Mahkota di Saujana, Johor Bahru, pada Isnin.

"Pertemuan atau mesyuarat itu nanti membabitkan dua kumpulan iaitu UMNO Johor termasuk ketua bahagian dan kumpulan kedua membabitkan Kerajaan Perpaduan di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ziarah Kasih di Kampung Parit Madirono, Benut di sini, pada malam Selasa.

Mesyuarat yang akan diadakan di Saujana itu merupakan pertemuan rasmi pertama membabitkan PRK DUN Mahkota yang akan dipengerusikan Ahmad Zahid antara UMNO dan PH Johor.

Sabtu lalu, PH mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota pada 28 September nanti.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PH dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertikaian mengenai kerusi DUN Mahkota antara BN dan Parti Amanah Negara (Amanah) tercetus susulan desakan Amanah Kluang supaya diberi peluang bertanding pada PRK berkenaan.

Bagaimanapun Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan pada sidang akhbar Ahad lalu, akur dengan keputusan calon UMNO akan bertanding bagi PRK DUN Mahkota.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai calon pada PRK DUN Mahkota, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan ia hanya boleh diulas oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Berkenaan calon, UMNO Johor tak akan ulas, biarlah Presiden parti yang jawab, cumanya dari segi jentera pada PRK itu, perlu bergerak awal untuk dekati ramai pengundi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!