Perbuatan vandalisme punca dua kanak-kanak terperangkap dalam lif

Tular video memaparkan perbuatan dua kanak-kanak sedang melakukan vandalisme dalam sebuah lif dekat Taman Desa Petaling, Cheras, pada Isnin
Tular video memaparkan perbuatan dua kanak-kanak sedang melakukan vandalisme dalam sebuah lif dekat Taman Desa Petaling, Cheras, pada Isnin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam lif pangsapuri dekat Taman Desa Petaling, Cheras pada Isnin dipercayai berpunca selepas selipar diletakkan di pintu lif mengakibatkannya terhenti.

Kejadian itu dipaparkan menerusi video tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif berkenaan.

Video terbabit menunjukkan tindakan salah seorang budak lelaki terbabit yang meletakkan selipar ditengah-tengah pintu lif beberapa kali mengakibatkan sistem auto-lock diaktifkan dan lif terus terhenti di tingkat empat.

Sebelum ini, satu video rakaman CCTV turut memaparkan dua kanak-kanak terbabit tertidur di dalam lif tersebut selepas terperangkap dalam tempoh yang lama.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan dua kanak-kanak lelaki yang pada mulanya disangka hilang, rupa-rupanya terperangkap lebih sembilan jam dalam lif sebuah apartmen pada Isnin.

Kedua-dua kanak-kanak itu berjaya dikesan menerusi pemeriksaan CCTV oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, polis sebelum itu menerima laporan berkaitan kehilangan dua kanak-kanak terbabit kira-kira jam 9.26 malam.

Beliau berkata, dua mangsa berkenaan kemudiannya berjaya dikesan terperangkap dalam lif di tingkat empat pangsapuri itu menerusi semakan CCTV.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!