Bantuan Palestin: Malaysia hanya sebuah negara kecil, berjiwa besar
[DIKEMAS KINI] RESPONS negatif sesetengah pihak terhadap keputusan Kerajaan Perpaduan membawa masuk rakyat Palestin yang cedera dan ahli keluarga mereka dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia pasti benar-benar mengejutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan kritikan itu berkata, ada dalam kalangan mereka yang mengkritik sehingga melampaui batas, malah ada yang secara sinis meminta beliau untuk pergi dan menjadi Perdana Menteri Palestin.
Ada juga yang bertegas bahawa amal kebajikan seharusnya bermula di negara sendiri terlebih dahulu, sambil menunjukkan gambar barisan panjang rakyat Malaysia yang sabar menunggu untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
Ada pula yang meluahkan rasa kecewa kononnya kerana rakyat Palestin diberi tempat di universiti awam tempatan dengan mudah sedangkan masih ramai rakyat tempatan yang perlu bertungkus lumus untuk diterima masuk ke universiti.
Malah muncul juga video palsu yang menunjukkan penduduk Palestin yang tiba kononnya diberi sambutan meriah dengan pergerakan konvoi mereka diiringi polis.
Sikap ini muncul susulan kehadiran lebih 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 ahli keluarga mereka termasuk kanak-kanak, ke dalam negara.
Pengkritik ini bagaikan tidak ambil peduli, bahawa kini lebih 34,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 77,000 tercedera sejak serangan Israel pada 7 Oktober susulan serangan pejuang Hamas.
Hampir 85 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dan lebih 14,000 kanak-kanak telah terbunuh dalam perang membalas dendam, manakala lebih 7,000 orang hilang.
Tidak salah untuk mengatakan bahawa ia adalah genosid memandangkan kebanyakan mereka ini tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk dihukum dengan pengeboman dan pembunuhan bagi menghapuskan mereka sama sekali.
Kira-kira 72 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk berkata, seorang kanak-kanak di Gaza terbunuh atau cedera setiap 10 minit. Pastinya mereka bukan pejuang Hamas.
Anwar dikritik oleh sesetengah pihak sebagai 'keterlaluan' dan 'hipokrit' kerana menerbangkan rakyat Palestin ini selama 16 jam dengan dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin kerana ada negara lain yang telah berbuat perkara yang sama, termasuk Mesir, Jordan dan Turkiye.
Mesir dilaporkan telah membenarkan 40,000 rakyat Palestin bersama ahli keluarga mengikuti sekolah dibangunkan negara itu, dan lebih 1,000 rakyat Palestin yang cedera kini berada di Emiriah Arab Bersatu, 3,000 anak yatim dan 1,000 yang cedera di Qatar, manakala Arab Saudi menerima 1,000 ahli keluarga rakyat Palestin.
Malah Turkiye bukan hanya menghantar kapal perubatan untuk merawat rakyat Palestin yang cedera, malah turut membawa pulang 1,000 daripada mereka untuk menerima rawatan perubatan.
Indonesia juga dilaporkan telah menyatakan kesediaannya untuk membantu rakyat Palestin ini.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia PBB, dengan lebih 40 hospital di seluruh Mesir merawat rakyat Palestin, sistem penjagaan kesihatan di negara itu kini menghadapi kekangan,Mereka yang berjaya sampai ke Mesir boleh dianggap bertuah kerana mendapatan rawatan yang diperlukan memandangkan sistem penjagaan kesihatan Gaza telah runtuh.
Daripada 36 hospital di Gaza, 32 telah rosak atau diserbu, dan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan elektrik, air, ubat, peralatan dan tenaga kerja yang serius.
Tidak ada maknanya Anwar dan ramai dalam kalangan kita rakyat Malaysia hanya menghadiri perhimpunan bantahan, solat berjemaah dan memboikot Kentucky Fried Chicken dan Starbucks, yang hanya merugikan pemegang francais Malaysia, sedangkan kita harus mengambil pendekatan yang lebih praktikal.
Sebenarnya merawat 41 yang cedera, jumlah itu adalah peratusan teramat kecil daripada jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang memerlukan bantuan.
Pengarah Bersekutu Human Rights Watch Belkis Wille berkata "memindahkan pesakit dan menyediakan rawatan perubatan yang sewajarnya untuk mereka adalah tindakan kemanusiaan yang konkrit dan boleh dilaksanakan yang akan membantu kehidupan rakyat Palestin".
"Satu daripada cara paling bermakna untuk mengurangkan kematian yang boleh dielakkan adalah dengan menawarkan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang memerlukannya, memastikan ahli keluarga mereka boleh menemani dan tinggal bersama mereka, dan tiada seorang pun yang dikembalikan secara paksa untuk menghadapi risiko bahaya selanjutnya," katanya.
Tidak kira sama ada kita adalah negara Asia pertama atau kedua yang membantu mereka. Apa yang Malaysia belanjakan untuk rakyat Palestin ini sebenarnya adalah cebisan bantuan yang amat kecil berbanding apa sebenarnya yang boleh kita lakukan.
Malaysia memiliki sejarah panjang dalam sumbangan bantuan kemanusiaan, terutamanya kepada rakyat Palestin, kerana mereka menghadapi situasi yang tidak pernah dialami oleh kelompok lain - dihalau keluar dari rumah mereka dan mengalami gangguan setiap hari di wilayah yang diduduki orang asing.
Saya tahu apa yang saya ketengahkan ini, kerana saya sendiri pernah melawat Gaza serta Tebing Barat, dan melihat kekecewaan mereka dengan mata kepala saya sendiri, pelbagai bentuk penghinaan yang dihadapi rakyat Palestin setiap hari.
Kita pernah membenarkan rakyat Syria dan Bosnia datang ke Malaysia, dan kebanyakan mereka berpindah ke negara lain.
Malah kita pernah membenarkan 250,000 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dengan kebanyakannya memilih untuk berpindah ke negara lain.
Kita pernah terlibat dalam misi pengaman di Bosnia-Herzegovina, Lubnan dan Somalia, menghulur bantuan di zon konflik di Timor Timur dan Mindanao, Filipina; bantuan mangsa bencana di Aceh, Indonesia serta gempa bumi di Nepal, dan mengambil bahagian dalam inisiatif memelihara keamanan serantau di selatan Thailand dan Mindanao, Filipina.
Adakah ini bermakna kita mengabaikan rakyat sendiri apabila mengeluarkan belanja untuk membawa masuk rakyat Palestin yang teraniaya ini?
Malaysia membelanjakan RM41.2 bilion untuk penjagaan kesihatan pada 2024, yakni peningkatan 13 peratus berbanding 2023, atau kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang meletakkannya di tempat ketiga dalam kalangan negara-negara ASEAN yang berbuat demikian.
Kos sara hidup terus menjadi isu, tetapi median gaji bulanan meningkat 4.9 peratus. Sudah tentu kita boleh melakukan yang lebih baik lagi, tapi ia tidak bermakna kita tidak mampu untuk membantu rakyat Palestin.
Ringgit kita telah menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia manakala pasaran saham telah menyaksikan lebih RM2 trilion dalam aktiviti pasaran.
Menguruskan isu hubungan kaum adalah perkara yang rumit, terutama dalam mengimbangi hubungan antara kaum.
Sudah pasti akan ada isu komuniti dan minoriti dari semasa ke semasa, tetapi kita tidak seharusnya membiarkan naratif berasaskan kaum dan agama mempertikaikan tindak tanduk kita.
Memang mudah untuk difahami sekiranya ada dalam kalangan kita yang bimbang negara akan dibanjiri dengan lebih ramai warga asing, termasuk dari Palestin dan lain-lain negara.
Kebimbangan ini mungkin ada asasnya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kecil.
Ramai yang tidak mahu melihat negara terheret ke dalam satu konflik, tapi kita tidak seharusnya bersikap apologetik dalam sokongan kita terhadap rakyat Palestin.
Rakyat Palestin hanyalah insan biasa dan layak dibantu. Malaysia mungkin hanya sebuah negara kecil, tetapi kita berjiwa besar. - Bernama
* Datuk Seri Wong Chun Wai yang telah berkecimpung dalam bidang kewartawanan sejak lebih 40 tahun, kini adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!