[VIDEO] Tiga syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi licik tumpas

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan licik tiga syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi yang menghantar hanya sebahagian bekalan terus kepada pemborong ditumpaskan dalam beberapa siri serbuan awal bulan ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, penyelewengan yang dilakukan tiga syarikat berkenaan telah menyebabkan ketirisan dana kerajaan mencecah sehingga RM20 juta.

"Modus operandi sindiket ini agak unik di mana selepas menerima bekalan daripada kilang minyak masak di Perak, mereka hanya membungkus sebahagian sahaja bagi mengaburi penguat kuasa.

"Minyak masak bersubsidi yang diseleweng itu dikumpulkan di Selangor dan Johor sebelum dibungkus semula dalam kemasan botol. Mereka dipercayai mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menjual minyak masak bersubsidi ini pada harga industri," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Azman mendedahkan modus operandi dilakukan tiga syarikat pembungkus yang menyeleweng minyak masak bersubsidi.
Azman mendedahkan modus operandi dilakukan tiga syarikat pembungkus yang menyeleweng minyak masak bersubsidi.

Menurutnya, ketiga-tiga syarikat pembungkusan terbabit telah digantung lesen serta-merta sebagai tindakan segera menyekat penyelewengan.

"Mereka sebenarnya telah mendapat lesen membungkus sejak tahun 2022 dengan jumlah kuota sebanyak 550 tan metrik sebulan," jelasnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, dua lelaki tempatan masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun telah ditahan di Johor bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain minyak masak, sitaan turut dilakukan ke atas beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois belian dan jualan, dokumen tuntutan subsidi minyak masak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) serta beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan dalam aktiviti haram berkenaan.

"Siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu dan syarikat lain yang terlibat dalam jenayah itu serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut.

"Syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak," katanya.

Tegas beliau, peruntukan undang-undang yang keras menanti pihak yang ingkar dan KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara sehingga tahun. Bagi syarikat, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan RM5 juta jika ia berulang," jelasnya.

Pada perkembangan berkaitan, Azman berkata, pihaknya juga telah melakukan 16,258 pemeriksaan membabitkan bahan komoditi iaitu petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum menerusi Ops Tiris 3.0 sepanjang tahun ini.

Bagi tempoh sama, katanya, sebanyak 12,912 pemeriksaan telah dilakukan terhadap diesel dengan 478 tangkapan telah dibuat sepanjang Ops Tiris 3.0.

Ringkasan berita:

  • Tiga syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi ditumpaskan kerana menyeleweng bekalan, menyebabkan kerugian dana kerajaan hingga RM20 juta.
  • Syarikat-syarikat ini hanya membungkus sebahagian bekalan untuk mengelirukan pihak berkuasa, manakala selebihnya dijual semula dengan harga industri.
  • Lesen ketiga-tiga syarikat tersebut digantung serta-merta, dan dua lelaki tempatan ditahan untuk siasatan.
  • Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.
  • Hukuman keras menanti, termasuk denda hingga RM5 juta bagi syarikat yang mengulangi kesalahan.
  • KPDN juga menjalankan 16,258 pemeriksaan terhadap bahan komoditi dan 12,912 pemeriksaan terhadap diesel dalam Ops Tiris 3.0 tahun ini, dengan 478 tangkapan dilakukan.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!