Pembunuh pengasas AmBank kekal ke tali gantung

Hussain Ahmad Najadi maut ditembak sebanyak tujuh kali pada 11 tahun lalu.
Hussain Ahmad Najadi maut ditembak sebanyak tujuh kali pada 11 tahun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pemandu trak tunda yang membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi pada 2013 lalu dikekalkan Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak semakan hukuman mati yang dibuat Koong Swee Kwan selaku pemohon.

Ketika membaca keputusan itu, beliau berkata, dalam kes ini, Hussain yang berusia 75 tahun ketika kejadian mengalami tujuh luka tembakan di dada pada dari jarak dekat.

Menurutnya, pembunuhan berkenaan dirancang dengan niat yang jelas, iaitu untuk memastikan si mati tidak akan selamat daripada tembakan itu.

“Ia juga jenayah keganasan yang luar biasa kerana pembunuhan berlaku pada waktu siang, malah menggemparkan masyarakat,” katanya yang bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.

Susulan itu beliau berkata, mahkamah menolak permohonan Swee Kwan, 55, untuk mengetepikan hukuman gantung sampai mati itu.

Semasa hujahan, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili pemohon berkata, kes itu tidak termasuk dalam kejadian yang paling jarang, antara yang jarang berlaku.

“Justeru itu, pemohon merayu agar dia dikenakan hukuman penjara dan mahkamah mengetepikan hukuman gantung sampai mati.

Artikel Berkaitan:

“Dia yang mempunyai penyakit asma, telah memohon maaf kepada keluarga mangsa, selain insaf sepanjang menjalani hukuman penjara sejak 2013 lalu,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim menghujahkan bahawa, kes itu telah mengejutkan negara memandangkan mangsa terlibat merupakan seorang tokoh perbankan.

“Pemohon telah menembak mangsa sebanyak tujuh kali dari jarak dekat, malah turut mengena isteri mangsa kemudian dia merancang untuk melarikan diri dengan menaiki teksi,” katanya.

Pada 1 Mac 2021, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Swee Kwan bagi kesalahan membunuh mangsa.

Panel tiga hakim turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki berkenaan, bagi kesalahan cuba membunuh isteri Hussain iaitu Cheong Mei Kuen, 52.

Swee Kwan yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai, dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di kawasan parkir Kuil Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Azman Husin menjatuhi tertuduh hukuman itu namun pada 14 Disember 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan terhadapnya dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Ia selepas memutuskan, Mohd Azman mungkin berprasangka memandangkan hakim itu telah mendengar rayuan seorang pemandu teksi, Chew Siang Chee, yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru.

Siang Chee dikatakan adalah individu yang memandu kenderaan membawa Swee Kuan dari lokasi selepas insiden tembakan itu.

Dia telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki pistol serta peluru hidup namun, dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, meninggal di tempat kejadian sementara isterinya, cedera apabila ditembak di kawasan parkir di kuil Cina Ceylon Kuan Yin Temple, Kuala Lumpur akibat terkena tembakan rambang.

Mengikut laporan, pasangan suami isteri itu sedang duduk di tempat kejadian apabila dihampiri seorang lelaki tidak dikenali lalu melepaskan beberapa tembakan.

Penembak itu kemudiannya melarikan diri dengan menaiki teksi bersama dua individu lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!