Muhyiddin serah 115 SD ahli Parlimen kepada polis

Muhyiddin melambai tangan kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak polis pada Rabu.
Muhyiddin melambai tangan kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak polis pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beberapa dokumen telah diserahkan kepada pihak polis berhubung dakwaan beliau menghina institusi raja.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penyerahan dokumen terbabit bagi membantu pihak polis melakukan siasatan berhubung ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, dokumen yang diserahkan itu adalah dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang mana kedua-duanya bertarikh 20 November 2022.

Jelas beliau, surat itu mengandungi perintah Yang Di-Pertuan Agong ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.

"Sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

"Surat akuan penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen terbabit.

"Selain itu surat tersebut, terdapat beberapa dokumen lain yang berkaitan turut diserahkan kepada pihak polis hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu Muhyiddin diambil keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabatnya di sini.

Artikel Berkaitan:

Tempoh rakaman percakapan yang dilakukan oleh pihak polis adalah selama sejam.

Antara yang hadir ke pejabat Muhyiddin ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sehubungan kenyataan dan penjelasan kepada pihak polis berserta dokumen-dokumen diberikan, satu siasatan secara telus, adil serta saksama dapat dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Tegasnya, sebagai seorang rakyat biasa, beliau bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu, malah taat setia kepada Institusi Raja Berpelembagaan.

Jelas beliau, perkara tersebut usah dipersoalkan kepadanya kerana dia sangat menyanjungi institusi raja di negara ini.

"Saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan saya itu," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!