Sinergi Kolej UNITI, LPPOM-MUI perkasa ekosistem halal

DARI kiri, Muhamad Elyas, Amir Hamzah, Muti dan Muslich merakam kenangan selepas menandatangani dokumen persetujuan persefahaman di Bogor, Jawa Barat pada Selasa.
DARI kiri, Muhamad Elyas, Amir Hamzah, Muti dan Muslich merakam kenangan selepas menandatangani dokumen persetujuan persefahaman di Bogor, Jawa Barat pada Selasa.
A
A
A

BAGI merancakkan usaha memperkasakan ekosistem dan agenda halal global, Kolej UNITI Port Dickson dan Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kometika Majlis Ulama Indonesia (LPPOM-MUI) menjalin kerjasama pada Selasa.

Kedua-dua pihak yang menandatangani memorandum persefahaman di Gedung Halal Global di Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu akan berkolaboratif dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakal dan latihan berkaitan halal.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kedua-dua pihak akan berkongsikan kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam bidang berkenaan.

“Sebagai antara institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang menawarkan program pengajian halal secara formal, kami akan berkongsi pengalaman dalam persijilan halal Malaysia dan pembangunan talen industri halal.

“LPPOM-MUI pula bakal menawarkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan mengenai halal dan perundingan berkaitan,” katanya selepas menyempurnakan majlis berkenaan.

Pada acara itu, Amir Hamzah mewakili Kolej UNITI Port Dickson di samping Pengarah Pusat Kecemerlangan Halalnya (UHAC), Muhamad Elyas Harun, manakala LPPOM-MUI diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Muti Arintawati dan Pengarah Kerjasama Halal dan Perkhidmatan Audit, Dr Muslich.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson disifatkan sebagai satu pengiktirafan memandangkan IPT itu merupakan Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Sejak 2013, Kolej UNITI telah melahirkan ribuan graduan bidang halal. Sehingga ke hari ini, UHAC sudah melatih ramai eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sinergi itu, ia turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak meneroka pelbagai program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar dan menempatkan pelajar Kolej UNITI Port Dickson untuk menjalani latihan industri dalam bidang berkaitan.

Sebelum ini, terdapat lebih 20 pelajar Indonesia telah menamatkan pengajian dan ada yang masih mengikuti program Diploma Pengurusan Industri Halal di Kolej UNITI Port Dickson.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!