Papagomo akan kemuka representasi untuk gugur tuduhan kes menghasut

Wan Muhammad Azri. Foto Bernama
Wan Muhammad Azri. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo, akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, 41, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah yang mengendalikan kes bersama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad berkata, hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi keputusan representasi, namun pihak pendakwaan belum menerima representasi itu daripada peguam.

Menurut Muhammad Rafique, beliau dan seorang lagi peguam iaitu Logen Eskander Abdullah masih belum sempat untuk menyediakan representasi berkenaan.

"Pihak kami akan memasukkan representasi dan memohon agar mahkamah menetapkan 18 Okt ini untuk keputusan representasi,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan kes bagi keputusan representasi.

Pada 2 Mei lepas, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di laman Twitter atau X miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada jam 12 tengah hari, 29 April lepas.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!