Penjenayah ditembak: Polis buru saki baki ahli, jejak aliran wang samun RM8 juta

Suspek warga Afrika yang ditembak mati di Jalan PJS 9/1, di sini, pada Selasa, dipercayai ahli kumpulan samun yang aktif sejak tahun 2018.
Suspek warga Afrika yang ditembak mati di Jalan PJS 9/1, di sini, pada Selasa, dipercayai ahli kumpulan samun yang aktif sejak tahun 2018.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menjalankan siasatan terperinci termasuk mengesan aliran wang jenayah membabitkan kes suspek warga Afrika yang ditembak mati dipercayai ahli kumpulan samun di Bandar Sunway, Selangor, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan turut menjurus kepada aliran wang hasil rompakan mencecah RM8 juta.

"Selain mengenal pasti ke mana wang berkenaan disalur atau digunakan tumpuan kita juga pada masa ini adalah mengenal pasti saki baki anggota kumpulan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Upacara Penutup Kursus Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, suspek masuk ke Malaysia sejak 2017.

"Kita tidak tahu bagaimana anggota kumpulan itu menyara hidup mereka di negara ini. Itu yang kita nak tahu, adakah dia mempunyai kerja lain, adakah mereka mempunyai bidang kerjaya profesional untuk sara hidup.

"Setakat ini, saya tidak boleh kata wang hasil rompakan dihantar ke negara asal, namun itu kita perlu siasat," katanya.

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily

Kursus BSU anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Federal Bureau of Investigation (FBI) berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos, disertai dua tenaga pengajar dari FBI Amerika Syarikat dan 24 pegawai kanan PDRM.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan sepasukan polis menembak mati seorang penjenayah selepas berbalas tembakan.

Siasatan mendapati kumpulan dianggotai lebih 10 orang itu terlibat dalam 45 kes jenayah sejak tahun 2018 membabitkan kerugian RM8 juta.

Modus operandi kumpulan tersebut adalah mengiklankan khidmat transaksi menerusi media sosial termasuk menjual barang kemas, pertukaran wang asing serta beberapa perniagaan lain.

Suspek akan bertemu mangsa di hotel dan diarah ke lokasi seterusnya menaiki kenderaan bersama sebelum ahli kumpulan lain menyerang menggunakan senjata.

Ringkasan berita:

  • Siasatan Susulan: Polis sedang menyiasat aliran wang hasil jenayah selepas menembak mati suspek warga Afrika di Bandar Sunway.
  • Tumpuan Siasatan: Siasatan mengenal pasti saki baki anggota kumpulan dan bagaimana wang RM8 juta hasil rompakan digunakan.
  • Kumpulan Penjenayah: Kumpulan ini telah aktif sejak 2018, terlibat dalam 45 kes jenayah.
  • Modus Operandi: Iklankan perkhidmatan transaksi di media sosial.
  • Taktik Penyamun: Suspek mengatur pertemuan dengan mangsa di hotel sebelum menyerang mereka dengan bantuan ahli kumpulan lain.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!