Keluarga mangsa maut langgar lori kontraktor siram pokok tuntut keadilan
KUANTAN - Dua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan lori kontraktor siram pokok di Jalan Bypass berhampiran Persimpangan Cengkih akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan kontraktor terbabit.
Tindakan saman akan dibuat oleh keluarga Gee Poh Keong, 38, bersama, Sasuhilmy Shaari, 53, bagi menuntut keadilan yang menimpa ahli keluarga mereka dalam kejadian pada 7 dan 19 Ogos lalu.
Poh Keong berkata, pihak keluarga sudah melantik peguam bagi menyaman kontraktor dan MBK di atas kecuaian mereka ketika menjalankan kerja-kerja penyiraman pokok sehingga mendatangkan kematian di laluan terbabit.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas tiada sebarang permohonan maaf atau pun pertemuan dibuat pihak berkaitan selepas insiden maut membabitkan bapanya, Gee Len Fatt, 63, pada 7 Ogos lalu.
"Kita berharap ada orang (pihak) yang boleh bertanggungjawab, tapi sehingga hari ini tiada sesiapa tampil ke hadapan untuk meminta maaf.
"Jadi, saya sudah lantik peguam dan saya juga ada berkomunikasi dengan keluarga mangsa kedua untuk kami bersama-sama untuk (menuntut) keadilan, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu pada Rabu.
Hadir sama, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang.
Poh Keong yang bekerja sebagai penyewa mesin jentera berat mengakui kecewa dengan pihak kontraktor yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan kerja-kerja penyiraman di laluan tersebut.
"Kita banyak (sangat) geram, (kerana) ayah meninggal begitu sahaja. Selepas itu, saya tanya kenapa tiada tindakan keselamatan sebelum kerja balik (memulakan kerja siram pokok), sehingga ada mangsa terbaharu.
"Setahu saya, lori tersebut tidak mempunyai SOP keselamatan mencukupi, tiada kon, pekerja pegang bendera dan sebagainya.
"Jadi, kita minta MBK berikan penjelasan mengenai SOP keselamatan yang sepatutnya," jelasnya.
Sementara itu, Sasuhilmy bapa kepada Muhammad Nafis Ifwat,19, menjelaskan akan bersama Poh Keong bagi menuntut keadilan buat anaknya.
Pesara swasta turut menyuarakan rasa kecewa dengan pihak pengurusan kontraktor dan MPK kerana tidak mengambil berat terhadap insiden ini.
"Kecuaian yang jelas tidak mengikuti SOP dari pihak kontraktor (sehingga) menyebabkan kematian anak lelaki saya yang tidak bersalah menjadi mangsa.
"Malah, sikap kedua agensi itu jugakan merisikokan ramai lagi mangsa dalam djangka masa panjang," katanya ringkas ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Chun Kuang mahu MBK dan kontraktor bertanggungjawab serta berharap kejadian seperti ini tidak berlaku masa akan datang.
"Saya rasa penting untuk pihak MBK dan kontraktor berjumpa dengan keluarga mangsa, sama ada minta maaf atau sebagainya," ujarnya yang akan membantu kedua-dua mangsa.
Pada 7 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan Len Fatt beralamat dari Jalan Haji Ahmad dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh belakang lori kontraktor yang menjalankan kerja menyiram pokok bunga di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bukit Istana.
Kejadian kedua, pada selasa, apabila seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori kontraktor dilaluan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!