'Muhyiddin perlu terima akibat keceluparannya' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena PAU2024.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena PAU2024.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menerima akibat keceluparannya mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Ahli Parlimen Pagoh itu seakan tidak boleh menerima hakikat bahawa titah Al-Sultan Abdullah untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan adalah bagi meredakan suhu politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya sangat menghormati kenyataan yang dibuat Tengku Mahkota Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) dan tentunya ia merupakan sesuatu yang harus dilihat sebagai kesan daripada keceluparan membangkitkan isu berkenaan.

"Mungkin orang itu tidak boleh terima hakikat bahawa titah untuk wujudkan Kerajaan Perpaduan adalah dengan niat Tuanku ketika itu, bagi menyatupadukan semua parti gabungan agar tidak lagi berlaku ketidakstabilan dalam politik tanah air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024) di sini, pada Rabu.

Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama barisan kepimpinan UMNO (dari kiri) Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal yang diadakan sempena PAU2024.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama barisan kepimpinan UMNO (dari kiri) Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi pada Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal yang diadakan sempena PAU2024.

Sebelum ini media melaporkan, polis merakam keterangan Muhyiddin berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu dilapor menyebut, Yang di-Pertuan Agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai 'gila talak' ekoran tidak dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

"Tetapi orang itu melihat dari aspek gila talak kerana tidak mendapat jawatan (Perdana Menteri) itu semula.

"Mungkin ianya telah terpacul dari mulutnya ketika (PRK) Neggiri yang dijadikan tapak yang pada hemat saya sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16,” ujarnya.

Sufiatul Aishah (tiga dari kanan) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal yang diadakan sempena PAU2024.
Sufiatul Aishah (tiga dari kanan) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal yang diadakan sempena PAU2024.

Sementara itu, wakil Puteri UMNO dari Pulau Pinang, Sufiatul Aishah Rashidi dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal yang julung kali diadakan sempena PAU 2024.

Sufiatul Aishah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil penyertaan dan piala pusingan.

Bertemakan 'UMNO dan kemerdekaan', pertandingan pidato itu berinspirasi daripada sambutan Hari Kemerdekaan dan PAU 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!