Kerajaan Kelantan tidak menganaktirikan pasukan bola sepak Sukma

Pasukan bola sepak Sukma Kelantan yang beraksi di Sarawak ketika ini. Gambar kecil: Zamakhshari
Pasukan bola sepak Sukma Kelantan yang beraksi di Sarawak ketika ini. Gambar kecil: Zamakhshari
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyangkal dakwaan pihaknya menganaktirikan pasukan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan yang beraksi di temasya Sukma Sarawak 2024 ketika ini.

Exco Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, sebaliknya berlaku salah faham berhubung elaun, pakaian rasmi kontinjen dan bantuan kepada pasukan terbabit hingga isu menjadi tular.

Katanya, beliau juga sudah dihubungi Pengurus Pasukan Bola Sepak Belia Kelantan FA, Datuk Azmi Ariffin yang memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, pada perbincangan sebelum ini, pihak kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bersetuju untuk menghantar pasukan Piala Presiden dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menanggung semua kos perbelanjaan pasukan itu ketika di Sukma Sarawak.

Pemain-pemain yang memakai pakaian pasukan sendiri.
Pemain-pemain yang memakai pakaian pasukan sendiri.

“Kerajaan negeri menyediakan pakaian kepada semua atlet kontinjen Kelantan, cuma pasukan bola sepak ini bertolak ke Sarawak lebih awal melalui Sabah kerana mereka terlibat dengan satu perlawanan Piala Presiden bertemu pasukan Sabah sebelum itu.

“Mereka tidak sempat mengambil pakaian rasmi kontinjen yang disediakan dan pakaian itu masih lagi ada di Kelantan.

“Baju warna-warni yang dilihat dalam gambar tular tersebut pula ialah pakaian persendirian pemain kerana persalinan rasmi pasukan dipakai semasa beraksi sebelum itu sudah dihantar ke dobi, jadi tidak berbangkitlah isu anak tiri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Darulnaim, di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan beraksi dalam keadaan daif di temasya Sukma Sarawak yang dikaitkan dengan pasukan bola sepak tersebut timbul selepas melihat semangat juang mereka hingga berjaya membuat kejutan menewaskan pasukan Johor di suku akhir.

Wakil dari Pantai Timur itu turut mencipta sejarah ke separuh akhir menerusi kemenangan 3-1.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, pasukan bola sepak itu berada dalam kategori C, semua kos semasa penyertaan di Sukma akan ditanggung sendiri oleh pihak pasukan terbabit.

“Dalam Sukma ada pembahagian atlet atau pasukan mengikut kategori A, B atau C yang ditetapkan oleh MSN berdasarkan pencapaian sebelum ini.

“Bagi kategori A, perbelanjaan akan ditaja sepenuhnya oleh MSN, kategori B sebanyak 70 peratus manakala kategori C, ditanggung sepenuhnya oleh pasukan sendiri sepertimana pasukan bola sepak Sukma Kelantan,” katanya.

Tambah Zamakhshari, berhubung isu sama ada mahu memghantar pakaian rasmi kontinjen kepada pasukan bola sepak itu atau tidak, akan beliau bincangkan dengan MSN Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!