Bekas Ahli Parlimen Bangi sertai Larian Keluarga Malaysia 2024
PENGANJURANLarian Keluarga Malaysia (LKM) yang dijadual berlangsung 29 September depan terus mendapat sambutan pelbagai pihak tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan politik bagi membantu anak yatim di bawah jagaan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Terbaharu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengesahkan penyertaan dalam kategori 10 kilometer (km) pada program larian yang bakal diadakan di Persiaran Flora, Cyberjaya itu.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang kini memegang jawatan Pro Naib Canselor untuk perhubungan luar, Universiti Taylor’s itu turut menegaskan, penyertaannya ini adalah manifestasi bahawa tiada jurang agama dan bangsa dalam usaha mengukuhkan perpaduan di negara ini dan untuk membantu golongan memerlukan.
"Satu contoh dan inisiatif yang baik oleh YKM, melalui LKM 2024, untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama saya dalam LKM 2024 yang akan berlangsung pada 29 September 2024 di Persiaran Flora, Cyberjaya.
“Penyertaan anda dalam larian ini penting bagi membantu anak-anak di bawah tanggungan YKM terus terbela," katanya pada Rabu.
YKM buat julung kalinya akan menganjurkan LKM 2024 bertujuan mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.
Melalui usaha ini, anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat wabak berkenaan akan terus mendapat pembelaan.
Terdahulu, beberapa legenda sukan negara dilapor bakal memeriahkan larian amal yang dijadual berlangsung pada 29 September ini.
Antara legenda yang bakal hadir pada program larian anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) itu adalah bekas atlet bina badan, Datuk Malek Noor; Datuk Zainal Abidin Hassan (bola sepak); Datuk Zaiton Othman (olahraga); Datuk Santokh Singh (bola sepak); Roslin Hashim (badminton) dan Datuk Marina Chin (olahraga).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!