Peguam didakwa pecah amanah wang anak guam

Ney Fong (tiga dari kanan) dan Jia Haur pada sidang akhbar berkenaan pecah amanah seorang peguam membabitkan kerugian hampir RM1.5 juta.
Ney Fong (tiga dari kanan) dan Jia Haur pada sidang akhbar berkenaan pecah amanah seorang peguam membabitkan kerugian hampir RM1.5 juta.
A
A
A

AMPANG - Seorang peguam didakwa terlibat kes pecah amanah perjanjian jual beli rumah membabitkan kerugian hampir RM1.5 juta.

Peguam Tetuan Low & Fong, Swee Ney Fong berkata, kes pertama membabitkan kes seorang warga China menggunakan khidmat peguam berkenaan bagi penjualan kondominium miliknya di Segambut sebanyak RM1 juta.

Menurutnya, baki jualan RM900,000 sepatutnya dibayar pada 2022, bagaimanapun mangsa tidak menerima pembayaran tersebut bagi tempoh itu.

"Peguam tersebut mendakwa telah membuat bayaran tetapi sebaliknya memberikan anak guam cek tendang.

"Laporan polis telah dibuat selain aduan kepada Majlis Peguam Malaysia, namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil terhadap peguam berkenaan," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai pada Rabu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur.

Ney Fong berkata, kes tersebut kini telah melalui fasa penyelesaian perjanjian di mana peguam terbabit bersetuju membuat pembayaran secara ansuran, namun masih tertunggak RM407,000 baki yang belum dijelaskan.

Bagi kes kedua pula, Ney Fong mendakwa, seorang pesara kerugian RM400,000 diperdaya peguam sama dalam urusan penjualan rumahnya di Cheras, tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Urusan penjualan telah selesai, namun mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada peguam terbabit.

"Mangsa telah membuat laporan polis berhubung kes itu dan sedang dalam tindakan saman sivil terhadap peguam berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jia Haur berkata, semakan dengan pihak polis mendapati sekurang-kurangnya terdapat 10 kes dalam siasatan ke atas peguam sama.

Beliau meminta mangsa lain untuk tampil membuat laporan supaya kegiatan lelaki terbabit yang masih berkhidmat sebagai peguam dapat dihentikan.

"Saya seru kepada orang awam, jika dapati ada aktiviti tidak mengikut prosedur laporkan kepada pihak polis bagi mengelak keadaan tidak terkawal atau alami kerugian lebih besar.

"Saya sendiri akan menghantar surat kepada polis Bukit Aman bagi memastikan siasatan kes ini dijalankan dengan terperinci mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa penipuan peguam berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!