PRK DUN Mahkota: UMNO belum muktamad calon wakil Kerajaan Perpaduan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO masih belum memuktamadkan calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan yang melibatkan Badan Perhubungan UMNO Johor serta Barisan Nasional (BN).

“Belum ada kemuktamadan (calon PRK), minggu depan saya akan mengadakan mesyuarat bersama Perhubungan UMNO dan BN Johor.

“Selepas itu kita akan bawa ke mesyuarat Biro Politik UMNO, seterusnya dibawa ke Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk memberi pemakluman” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024), di sini pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pakatan itu tidak akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Selain itu Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan turut dilapor berkata, mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada Isnin depan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu mengenai PAU 2024, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan kali ini akan memberi fokus terhadap pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera serta penstukturan semula jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, kemenangan pada PRK DUN Nenggiri minggu lalu menjadi pemangkin semangat kepada ahli-ahli parti dan agenda tersebut perlu diterjemahkan dalam kalangan kepimpinan di peringkat negeri, bahagian serta akar umbi.

“Kita mempunyai pelbagai fokus pada (PAU) kali ini, untuk sayap (Wanita, Pemuda dan Puteri), mereka mempunyai agenda tersendiri bagi memperkukuhkan parti. Ini terhasil daripada kemenangan di (PRK) Nenggiri dan semangat membara semula.

“Yang paling penting ialah rasa kebersamaan dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO, bangkit dalam nada berbeza, semangat dalam situasi yang telah berubah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!