MP Shah Alam salur peruntukan atasi banjir kilat SK Padang Jawa

SK Padang Jawa dilanda banjir kilat pada Selasa.
SK Padang Jawa dilanda banjir kilat pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Limpahan air memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dalam kejadian Selasa berpunca sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air dalam kuantiti banyak terutama ketika hujan lebat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, beliau mengambil keputusan menggunakan peruntukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam bagi penyelesaian sementara masalah itu.

Menurutnya, inisiatif itu untuk mengurangkan limpahan air dari memasuki premis sekolah jika kejadian hujan lebat berulang.

Azli (dua dari kini) meninjau keadaan SK Padang Jawa dilanda banjir kilat pada Selasa.
Azli (dua dari kini) meninjau keadaan SK Padang Jawa dilanda banjir kilat pada Selasa.

"Nampak gayanya, saya terpaksa mengambil inisiatif langkah sementara melalui peruntukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam untuk mengurangkan limpahan air dari memasuki premis sekolah jika kejadian hujan lebat berulang.

"Saya telah meminta pihak berkuasa dan agensi berkenaan sebelum ini, namun saya menyedari mereka akan mengambil masa untuk melaksana penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh," katanya menerusi kemas kini di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, banjir kilat tersebut perlu diatasi dengan menambah bilangan saluran pembentung yang melintasi laluan rel komuter.

"Ini antara punca kesesakan laluan air keluar (bottle neck) mengakibatkan banjir kilat di SK Padang Jawa dan kediaman berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Permasalahan itu tidak sukar untuk dilaksana kerana pelbagai teknologi kejuruteraan awam terkini boleh diaplikasi," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, sesi pembelajaran sesi petang murid sekolah berkenaan terbantut selepas kawasan sekolah berkenaan ditenggelami banjir kilat.

Beberapa video memaparkan murid dibantu beberapa guru meredah banjir tular di media sosial.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan, pemeriksaan di lokasi mendapati banjir kilat itu berlaku disebabkan sistem longkang tersumbat akibat dipenuhi sampah sarap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!