Lapan pasukan berentap suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

SMK Dato' Haron akan berdepan cabaran SMK Darul Ehsan dalam aksi suku akhir.
SMK Dato' Haron akan berdepan cabaran SMK Darul Ehsan dalam aksi suku akhir.
A
A
A

KEHANGATAN saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) memasuki fasa mendebarkan apabila lapan pasukan terbaik mengesahkan slot suku akhir selepas menyingkirkan pencabar masing-masing di pusingan kedua.

Paling mencuri tumpuan kejutan SMK Darul Ehsan (PPD Gombak) yang menyingkirkan cabaran juara Piala Sumbangsih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, 2-0 di Stadium Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Kemenangan itu membolehkan SMK Darul Ehsan yang dilabel pembunuh gergasi berdepan naib juara Piala Sumbangsih SMK Dato' Haron (PPD Kuala Selangor) di padang Arena 26 Shah Alam.

SMK Dato' Haron mengesahkan slot suku akhir selepas menewaskan SMK Shahbandaraya (PPD Klang), 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan di padang SK Bandar Baru Kuala Selangor.

Satu lagi pasukan pilihan, SMK Shah Alam (PPD Petaling Perdana) juga mara setelah menyingkirkan cabaran SMK Kelana Jaya (PPD Petaling Utama) dengan kemenangan 5-0 dalam perlawanan berlangsung di padang A Radia Arena, Bukit Jelutong.

SMK Shah Alam akan berdepan SMK Tinggi Kajang (PPD Hulu Langat) di padang Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, yang sebelum itu menewaskan SMK Tengku Ampuan Jemaah (PPD Klang) juga menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 di padang SMK Tinggi Kajang.

Turut mengisi slot suku akhir, SMK TTDI Jaya (PPD Petaling Perdana) yang menyingkirkan cabaran SMK Sungai Besar (PPD Sabak Bernam), 6-0 di padang Radia Bukit Jelutong.

SMK TTDI Jaya akan berdepan SMK Pengkalan Permatang (PPD Kuala Selangor) di padang Arena 26 Shah Alam yang sebelum itu mengatasi cabaran SMK Taman Dato' Haron (Petaling Perdana) 3-0 di padang SMK Pengkalan Permatang.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perlawanan menyaksikan SMK Bukit Jelutong (PPD Petaling Perdana) yang menewaskan SMK Telok Panglima Garang (PPD Kuala Langat), 1-0 di padang Awam Sungai Buaya, Banting berdepan SMK Taman Jasmin 2 (PPD Hulu Langat) di padang Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28.

SMK Taman Jasmin 2 mara selepas menjinakkan cabaran SMK Bandar Saujana Putra (PPD Kuala Langat) 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 di padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


SUKU AKHIR

21 OGOS (RABU)

  • SMK Dato' Harun lwn SMK Darul Ehsan
  • SMK Shah Alam lwn SMK Tinggi Kajang
  • SMK Bukit Jelutong lwn SMK Taman Jasmin 2
  • SMK TTDI Jaya lwn SMK Pengkalan Permatang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!