Lukisan mural imbas nostalgia Stesen Bas Bahau zaman dahulu
JEMPOL - Lukisan mural lebih 60 meter di bangunan Stesen Bas Bahau di sini yang bertemakan nostalgia stesen bas berkenaan pada zaman dahulu bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Mohd Nazri Mulup berkata, lukisan berkenaan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan dengan kerjasama pelajar universiti awam dan warga MPJL.
Menurutnya, program ini membabitkan peruntukan melalui Program Local Agenda (LA21) tahun 2024 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Ia bagi melaksanakan Program Hotspot Bandar Selamat & Jempol Time Tunnel 2024 berjumlah RM16,720 meliputi kos gotong royong dan lukisan mural di stesen bas Bahau ini.
"Walaupun nostalgia berkenaan tidak sepenuhnya dapat diilhamkan di dinding stesen bas ini, namun kenangannya mampu mengusik jiwa bagi yang pernah melalui zaman tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai majlis perasmian Program Hotspot Bandar Selamat & Jempol Time Tunnel 2024 (Local Agenda 21) dan Program Sosial dan Keselamatan Hotspot Bandar Selamat di sini pada Rabu.
Turut berlansung pada program sama edaran pakaian terpakai sebanyak 10 tan secara percuma kepada mana-mana pihak yang memerlukan.
Mohd Nazri berkata, pakaian tersebut telah siap dicuci, dibungkus, ditandakan saiz dan jenisnya oleh kakitangan MPJL bagi memudahkan proses edaran sebagai salah satu inisiatif pihaknya untuk menyokong kempen kitar semula tekstil.
"Sebuah kontena di Stesen Bas Bahau telah ditempatkan oleh pihak swasta bagi menyelaras kitar semula tekstil ini melalui kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.
"Jadi kita mempelawa mana-mana pihak yang memerlukan untuk mengambil pakaian terpakai ini untuk diedarkan kepada komuniti setempat," katanya.
Dalam pada itu, mengenai Program Bandar Selamat iaitu Inisiatif Pemutihan kawasan blackspot Tahun 2024 oleh Kementerian dalam Negeri (KDN) berjumlah RM400,000, ia meliputi skop kerja projek fizikal.
"Antara projek berkenaan adalah membina laluan pejalan kaki dari masjid ke stesen bas hingga stesen kereta api, memasang lampu LED berkuasa solar dan memasang ‘safety panic button’ 7," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!